LAVIA lebih berminat menyertai Chelsea berbanding Liverpool. FOTO Agensi
LAVIA lebih berminat menyertai Chelsea berbanding Liverpool. FOTO Agensi
Agensi

London: Liverpool dijangka terlepas satu lagi sasaran utama di bahagian tengah selepas pemain remaja Southampton, Romeo Lavia bersedia untuk mengikut jejak langkah Moises Caicedo berhijrah ke Chelsea.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp berdepan kekecewaan selepas Caicedo memilih untuk menyertai Chelsea walaupun Liverpool bersetuju dengan yuran perpindahan bernilai £111 juta (RM649.9 juta) bersama Brighton.

Kini Lavia berkemungkinan akan mengikut jejak itu dengan memilih Chelsea dan bukannya Liverpool.

Tiga tawaran The Reds untuk pemain berusia 19 tahun itu ditolak dengan percubaan terbaru adalah sekitar sebanyak £45 juta (RM263.4 juta), kurang £5 juta (RM29.2 juta) daripada harga yang diminta Southampton.

Liverpool enggan membayar £50 juta (RM292.7 juta) untuk pemain dengan pengalaman hanya satu tahun di liga utama.

Lavia sudah bersetuju dengan syarat bersama Chelsea dan yuran perpindanan serta tambahan lain akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

The Reds berasa dipermainkan oleh Caicedo, yang mungkin menggunakan alasan minat Liverpool terhadapnya itu untuk memaksa Chelsea meningkatkan bayaran yuran perpindahan.

Ia menyebabkan Liverpool sangat memerlukan pemain tengah bertahan selepas Jordan Henderson dan Fabinho sudah meninggalkan kelab itu.

Bintang Fulham, Joao Palhinha berminat untuk ke Anfield, tetapi harga yang diminta iaitu £60 juta (RM351.3 juta) mungkin tidak sesuai bagi pemain berusia 28 tahun itu.

Kelab itu menghubungi Fluminense untuk bertanyakan status pemain tengah, Andre dua minggu lalu selain memerhatikan situasi Cheick Doucoure di Crystal Palace dan Khephren Thuram dari Nice.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 7:59 AM