HARRY Kane dilaporkan mahu kekal di Tottenham. FOTO AFP
HARRY Kane dilaporkan mahu kekal di Tottenham. FOTO AFP
AFP

Munich: Bayern Munich mencapai persetujuan untuk menandatangani kapten England, Harry Kane dari Tottenham, dengan yuran rekod Bundesliga melebihi 100 juta euro (RM502.2 juta).

Tetapi hanya beberapa jam selepas berita mengenai perjanjian itu tersebar, media Britain melaporkan ia mungkin gagal kerana Kane kini cenderung untuk kekal di Spurs.

Perbincangan antara kedua-dua kelab sudah berlangsung selama beberapa minggu, ketika pengerusi Tottenham, Daniel Levy mendesak bayaran yang lebih tinggi selepas menyedari Kane boleh meninggalkan kelab itu secara percuma apabila kontrak semasanya berakhir pada 2024.

Bayern dilaporkan sudah menyerahkan tawaran terakhir mereka untuk penyerang berusia 30 tahun itu, yang dikatakan melebihi 100 juta euro (RM502.2 juta) buat kali pertama.

The Athletic melaporkan berita itu itu terlebih dahulu, sebelum diikuti oleh Sky Sports dan beberapa media British serta Jerman.

Tetapi tidak lama selepas itu, The Sun melaporkan bahawa Kane mungkin menolak tawaran itu manakala Sky berkata dia berhasrat untuk kekal di kelab utara London.

Bayern yang juga juara Eropah enam kali, berdasarkan sejarah enggan berbelanja besar berbanding kebanyakan pesaing mereka di Eropah.

Angka yang dilaporkan melebihi 100 juta euro (RM502.2 juta) itu adalah melebihi rekod perbelanjaan perpindahan kelab berkenaan sebanyak 80 juta euro (RM401.7 juta) pada 2019 untuk mendapatkan pertahanan Perancis, Lucas Hernandez.

Hernandez kemudian meninggalkan Bayern untuk berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) awal tahun ini dengan harga 45 juta euro (RM225.9 juta).

Bayern sedang mencari penyerang tulen sejak pemergian penyerang, Robert Lewandowski ke Barcelona pada akhir musim 2021-22.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 7:32 AM