BOTOL air digunakan Pickford ketika perlawanan menentang Leicester. FOTO Reuters
BOTOL air digunakan Pickford ketika perlawanan menentang Leicester. FOTO Reuters
Agensi

London: Penyokong Everton yakin botol air minuman Jordan Pickford antara faktor yang menyelamatkan Everton daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan dan terus bersaing di Liga Perdana (EPL) sejak 69 tahun lalu.

The Toffees kekal di EPL selepas menang tipis 1-0 ke atas Bournemouth kelmarin hasil jaringan hebat Abdoulaye Doucoure.

Keputusan itu menyaksikan Leicester dan Leeds tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.

Namun penyokong Everton percaya detik penentuan pada perlawanan getir awal bulan ini yang mengesahkan nasib kelab mereka beberapa minggu sebelum perlawanan terakhir.

Pada 1 Mei, Everton berdepan Leicester dalam aksi penting di Stadium King Power. Keputusan berakhir 2-2 tetapi Pickford mengelakkan Foxes meraih tiga mata selepas menyelamatkan sepakan penalti.

Penyokong pantas menyedari penjaga gol berusia 29 tahun itu menggunakan botol airnya yang tertera data penalti untuk menyelamatkan penalti.

Penyokong Everton kini yakin kecekapan Pickford dan botol air kesayangannya membolehkan mereka kekal di Liga Perdana.

Seorang penyokong di Twitter berkata: "Terima kasih tuhan di atas botol air Pickford!"

Seorang lagi berkata: "Botol air Jordan Pickford menyelamatkan Everton," manakala yang lain berpendapat: "Botol air Pickford mengekalkan kami di liga f******!"

Sementara itu, kemenangan Leicester 2-1 ke atas West Ham pada hari terakhir gagal menyelamatkan diri daripada zon penyingkiran.

The Foxes menduduki tempat ke-18 dalam carta liga, dua mata di belakang Everton.

Leeds pula tewas 1-4 kepada Tottenham di Elland Road. Selepas tamat perlawanan, penyokong tuan rumah enggan meraikan pemain sebaik mengetahui kelab tersingkir ke Liga Kejuaraan.

Penyerang Georginio Rutter melemparkan jersinya kepada penonton namun seorang daripada mereka mengambil dan membalingnya semula ke padang ketika pemain Perancis itu menuju ke bilik persalinan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 6:05 PM