ANTARA aksi Bergson (kanan), malam ini. FOTO NADIM BOKHARI
ANTARA aksi Bergson (kanan), malam ini. FOTO NADIM BOKHARI
Syafiq Aznan


Kuala Lumpur: Tiada kejutan dapat disaksikan apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) mengutip 'markah penuh' menerusi kemenangan ke-11 berturut-turut dalam Liga Super selepas membenam Kuching City FC 4-0 di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan menghimpun 33 mata maksimum dan tiga mata pada malam ini 'mendekatkan' mereka dengan kejuaraan liga ke-10 berturut turut.

Kuching City pula terus parah apabila terus buntu meraih kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir dan lebih buruk, tumbang buat kali keempat berturut-turut.

Hanya tiga minit diperlukan JDT untuk membuka jaringan apabila hantaran Jordi Amat menemui Leandro Velazquez yang kemudiannya menghantar bola kepada Fernando Forestieri dan menyudahkannya untuk gol pembukaan.

Tuan rumah terselamat pada minit keenam apabila tandukan Bergson da Silva hinggap di palang dan melantun ke bawah namun bola dilihat belum melintasi garisan untuk disahkan sebagai gol.

Bergson terus tidak bernasib baik apabila tampanannya pada minit ke-24 sekali lagi terkena palang tetapi berbeza buat rakan sepasukannya, Forestieri yang berjaya menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-36.

Bersambung babak kedua, kelebihan dua gol jelas tidak membuatkan JDT selesa dan berterusan mengasak kubu tuan rumah untuk membuka jurang dengan lebih besar.

Beberapa percubaan dilakukan JDT dinafikan Shaiful Wazizi Mohammad sebelum Bergson akhirnya berjaya menemui jaring untuk gol ketiga JDT pada minit ke-68.

Selepas terpaksa menunggu sehingga minit ke-68 untuk mendapatkan jaringan pada babak kedua, gol JDT seterusnya hadir empat minit kemudian menerusi jaringan jarak jauh Juan Muniz.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 10:30 PM