Taesu meraikan gol penyamaan Sabah.
Taesu meraikan gol penyamaan Sabah.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kegagalan jentera serangan Sabah FC menterjemahkan jaringan ketika berjaya mencipta deretan peluang di hadapan pintu gol Negeri Sembilan FC (NSFC) menjadi faktor impian mendapatkan tiga mata, tersasar.

Itu rumusan dibuat pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee, selepas pasukan bimbingannya sekadar seri 1-1 dengan Negeri Sembilan, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu berkata, walaupun pemainnya beraksi dengan baik dan dapat menguasai sebahagian perlawanan terutama pada separuh masa kedua, namun bukan mudah untuk menewaskan skuad Hobin Jang Hobin yang memiliki kelebihan.

"Menerusi kesungguhan ditunjukkan pemain, kita berjaya mencipta banyak peluang jaringan terutama pada separuh masa kedua dan kita layak mendapat tiga mata.

"Tetapi disebabkan penyudah sedikit tumpul, menyebabkan banyak peluang gagal diterjemahkan dengan jaringan. Kita tahu apabila dibolosi, sukar untuk dapatkan gol.

"Apatah lagi dengan corak persembahan pasukan lawan yang dilihat bertahan dengan baik, tapi dengan kesungguhan tinggi pemain, kita mampu meraih satu mata," katanya selepas perlawanan.

Sabah bangkit daripada ketinggalan selepas Park Tae-Soo menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-75, untuk mengikat kedudukan seri selepas Tommy Mawat Bada terlebih dahulu menjaringkan gol Negeri Sembilan pada minit ke-20.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 2:44 PM