ZULKARNAIN Zakaria melayangkan kad kuning kepada penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Md Jalil selepas mengasari pemain Sabah FC, Darren Lok dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas, 17 Mac lalu. FOTO Mohd Adam Arinin
ZULKARNAIN Zakaria melayangkan kad kuning kepada penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Md Jalil selepas mengasari pemain Sabah FC, Darren Lok dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas, 17 Mac lalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa segera melaksanakan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) yang sudah tertangguh hampir tiga tahun selepas dilancarkan pada Mac 2020 lalu.

Isu pengadil kontroversi, Zulkarnain Zakaria yang dikenakan penggantungan daripada mengadili aksi Liga Malaysia (Liga M) seharusnya membuka mata FAM untuk segera 'mengaktifkan' MProRS bagi menjaga mutu dan kualiti pegawai perlawanan dalam liga tempatan.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa, kewujudan badan pengadil profesional tidak boleh ditangguhkan lagi kerana ia boleh mengundang pelbagai masalah termasuk unsur rasuah ataupun bookie untuk mendekati pengadil selain pemain.

"Isu rasuah dalam bola sepak bukan sahaja berkisar mengenai pemain semata-mata, pengadil juga boleh terdedah dan ia pernah berlaku di luar negara.

"Kita tak tahu bagaimana elaun pengadil di bayar tetapi mereka juga ada komitmen tertentu dan mungkin anasir luar (bookie) cuba menangguk di air keruh dan akhirnya berlaku (mutu pengadilan yang berat sebelah).

"Saya kira kita perlu segera adakan pengadil profesional di mana kita tahu gaji yang ditawarkan cukup lumayan dan situasi itu secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti pengadil serta motivasi mereka untuk sentiasa menjaga integriti sepanjang masa," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, FAM pernah menyenarai pendek enam pengadil - Muhammad Nazmi Nasaruddin, Mohd Yaasin Mohd Hanafiah, Zulkarnain Zakaria, Muhammad Faizuddin Ismail, Razlan Joffri Ali dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman sebagai perantis bagi projek MProRS pada 2020 lalu.

Kesemua mereka akan dinilai prestasi masing-masing dalam saingan Liga M sebelum dua pengadil terbaik akan ditawarkan kontrak untuk bergelar pengadil profesional pertama Malaysia.

Dua pengadil yang terpilih itu akan menikmati imbuhan lumayan kira-kira hampir RM500,000 setahun termasuk kos pengurusan dan pentadbiran.

Malah, MProRS turut terkandung dalam Peta Hala Tuju atau Roadmap F:30 FAM kerana dilihat mampu mencapai matlamatnya iaitu bagi meningkatkan lagi prestasi pengadil sedia ada.

Bagaimanapun, pelaksanaan MProRS pada 2021 terpaksa ditangguhkan ekoran penularan pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan perjalanan Liga M.

"Kita dah banyak ketinggalan sebenarnya. Pengadil profesional negara lain dah lama buat, VAR (video bantuan pengadil) pun orang lain dah buat, tapi kita masih jauh di belakang.

"Jadi pada saya, kedua-duanya kena bergerak seiring dan kita tak boleh ketinggalan lagi. Memang VAR pun penting, sebab kalau tak ada VAR kita takkan dapat adili perlawanan di Piala Dunia dan itu bermakna pengadil kita tak capai kelayakan tinggi.

"Kita kena lihat secara serius dengan libatkan kerjasama erat bersama Fifa dan AFC untuk menjadikan pengadilan itu sebagai kerjaya sepenuh masa, dan dapat ganjaran setimpal supaya mereka tidak terbabit dalam isu rasuah," kata Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam.

Semalam, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan akan memanggil Zulkarnain bagi membantu siasatan lanjut berhubung prestasinya serta aspek lain termasuk jika terdapat gangguan anasir luar ketika mengadili aksi Liga Super antara Sabah FC dan Penang FC, 17 Mac lalu.

Dalam aksi di Stadium Likas itu, Zulkarnain menimbulkan kontroversi apabila menghadiahkan dua sepakan penalti yang tidak tepat dengan FAM akui ia keputusan yang terkhilaf daripada pengadil itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 2:22 PM