JDT raikan kemenangan besar mengatasi Selangor FC. FOTO NSTP
JDT raikan kemenangan besar mengatasi Selangor FC. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "11 tahun saya dalam arena bola sepak, saya tak pernah lihat ada orang bermain bunga api pada perlawanan kelima".

Itu kata pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengakui pelik melihat Selangor FC bermain bunga api sebelum aksi antara kedua-dua pasukan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, Jumaat lalu.

Jelas Tunku Ismail, beliau agak hairan mengapa bunga api dimainkan pada aksi kelima liga meskipun perjalanan Liga Super masih panjang lagi musim ini.

Katanya, kebiasaannya bunga api dimainkan selepas sesebuah pasukan memenangi trofi seperti mana kebiasaan yang dilakukan JDT yang saban tahun menjuarai pelbagai kejuaraan liga domestik termasuk menjulang Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut sejak 2014 lalu.

Begitupun, tindakan Selangor FC itu adalah pengalaman baharu buatnya sejak 11 tahun lalu.

"Selama ini orang main bunga api selepas ada pencapaian contohnya menjadi juara dalam sesuatu pertandingan ataupun hujung tahun.

"Tetapi ini adalah benda yang unik, benda yang saya baru belajar bahawa kita boleh bermain bunga api pada perlawanan ke-5 liga," katanya kepada Ahli Lembaga Pengarah JDT dan penasihat belia Johor, Khairy Jamaluddin.

Terdahulu, Khairy berkongsi satu video bersama Tunku Ismail di laman sosial, dengan bekas Menteri Kesihatan Malaysia itu mengucapkan tahniah di atas kemenangan besar JDT menewaskan Selangor FC 4-0.

Tunku Ismail yang berada di sebelah Khairy kemudiannya turut mengucapkan tahniah buat skuad Harimau Selatan yang mudah memenangi aksi itu.

"Keputusan yang bagus dan sangat positif. Jika kita lihat persiapan pihak pengurusan sebelah sana mempersiapkan dan menghangatkan perlawanan ini, saya ucapkan syabas kepada mereka," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 1:10 PM