STATUS yang dimuat naik dalam instastory milik TMJ. FOTO Instagram
STATUS yang dimuat naik dalam instastory milik TMJ. FOTO Instagram
Oleh Firdaus

Kuala Lumpur: Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil mendedahkan satu rahsia atau resepi kejayaan kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) yang selama ini tidak diketahui umum.

Menerusi satu perkongsian di laman Story Instagramnya, Tunku Ismail yang juga pemilik JDT akui dirinya sudah bercita-cita untuk mengharumkan nama Johor dalam bola sepak sejak berusia lapan tahun lagi.

Katanya, kejayaan skuad Harimau Selatan menyapu bersih saingan Liga Malaysia pada musim lalu serta memenangi trofi Liga Super selama sembilan kali berturut-turut bukanlah suatu kebetulan.

"Cinta saya kepada bola sepak dan Johor saling berkait. Saya membesar dengan pemain bola. Apa yang terjadi kepada JDT hari ini bukanlah satu kebetulan," katanya yang turut membina Stadium Sultan Ibrahim untuk muncul satu-satunya kelab tempatan yang memiliki stadium sendiri.

Selain itu, sepanjang sedekad lalu, JDT sudah meleburkan banyak sejarah tersendiri termasuk kelab pertama dari Malaysia yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan yang pertama pasukan tempatan menjuarai Piala AFC pada 2015 lalu.

JDT dilihat berada di landasan terbaik untuk merekodkan kejuaraan Liga Super buat kali-10 berturut-turut musim ini selain berjaya mengekalkan trofi Piala Sumbangsih bulan lalu.

Malah, fasiliti pusat latihan juga tersergam indah dengan kelengkapan serba moden yang disediakan JDT buat pasukan bagi menjalani latihan.

Kelab itu juga sering melahirkan pemain berkualiti seperti Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan ramai lagi yang kini menjadi nadi kepada kekuatan skuad Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 6:05 PM