(DARI kiri), Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam; Ab Ghani, Edith Marquez-Reyes dan Pengarah Perundangan Colgate-Palmolive Malaysia, Wanaz Merican.
(DARI kiri), Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam; Ab Ghani, Edith Marquez-Reyes dan Pengarah Perundangan Colgate-Palmolive Malaysia, Wanaz Merican.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan syarikat penjagaan mulut terkemuka antarabangsa, Colgate menjadi penaja baharu Liga Malaysia (Liga-M) 2023 selepas menandatangani kontrak perjanjian selama setahun.

Pembabitan Colgate pasti akan menambah senyuman dalam saingan Liga-M musim ini yang akan membuka tirai dengan Perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 9 malam 24 Februari ini.

Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, beliau optimis dengan kehadiran Colgate sebagai jenama terkenal yang sudah bertapak selama 64 tahun di Malaysia akan memberikan satu indikasi cukup baik mengenai penerimaan syarikat swasta terhadap Liga-M.

"Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan Colgate terhadap MFL untuk menjalin kerjasama selaku penaja baharu musim ini.

"Ini satu permulaan baik dan kita sedia maklum Colgate adalah satu jenama yang cukup sinonim buat keluarga Malaysia dan kini bersama-sama MFL untuk menyumbang sesuatu buat bola sepak tanah air.

"Ini kali pertama Colgate terbabit dalam sukan bola sepak khususnya di negara ini dan ia jelas satu mesej cukup positif apabila sebuah syarikat global penjagaan kesihatan bersedia melangkah seiring bersama MFL dalam menaja Liga-M yang kini diiktiraf antara liga terbaik di rantau ini.

"Perkembangan ini diharap dapat membuka mata lebih banyak syarikat luar untuk menaja Liga-M yang memiliki potensi cukup besar diterokai dari sudut komersial," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Malaysia, Edith Marquez-Reyes, percaya kolaborasi itu akan mencetuskan satu lagi pengalaman bermakna untuk jenama Colgate di Malaysia.

Beliau berkata, jenama Colgate sentiasa berteraskan kepercayaan bahawa senyuman itu kekuatan dan Liga-M adalah inspirasi kepada semua warga Malaysia yang kita boleh, Malaysia boleh.

"Sementara pemain kita berusaha keras mengharungi Liga-M dalam memburu kejayaan, Colgate pula sentiasa berusaha untuk memastikan kesihatan gigi dan mulut semua dijaga dengan baik.

"Kami berharap menerusi kolaborasi ini, kita akan lebih lagi saringkan senyuman dan optimis kepada semua warga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 8:31 PM