TUNKU Ismail (kiri) menerima menghadap Hamidin dan Pan-gon, baru-baru ini. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
TUNKU Ismail (kiri) menerima menghadap Hamidin dan Pan-gon, baru-baru ini. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Firdaus Hashim dan Syazwan Msar


Petaling Jaya: Skuad Harimau Malaya dijangka tampil dengan 'ilmu penuh di dada' pada saingan Piala Asia di Qatar Januari depan apabila sentuhan ajaib Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal mengiringi perjuangan pasukan menghadapi pentas tertinggi itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu disahkan bakal membantu persiapan anak buah Kim Pan-gon ke Piala Asia tanpa memegang sebarang jawatan rasmi.

Pengalaman dan sentuhan Tunku Ismail dalam memacu JDT untuk muncul antara kelab digeruni di Asia amat diperlukan, sekali gus kehadirannya yang diibaratkan seperti mentor buat skuad Harimau Malaya itu bakal menghadirkan keputusan lebih positif.

"Saya dijemput bersama Pan-gon untuk ke Johor bagi menghadap Tunku Ismail yang mahu mendengar dan menyampaikan ucapan tahniah di atas pelantikan dalam Fifa (Ahli Jawatankuasa Eksekutif Fifa untuk penggal 2023-2027).

"Jadi dalam pertemuan itu, beliau cakap saya (Tunku Ismail) tak berminat untuk ambil apa-apa jawatan termasuk pengurus. Saya nak lebih kepada komitmen untuk bantu pasukan kebangsaan dari belakang.

"Macam untuk pasukan Pan-gon dari segi peralatan, segi gimnasium dan sebagainya. Beliau juga nak bantu kalau stadium itu (Stadium Nasional Bukit Jalil) tak boleh nak guna dan boleh pakai Stadium Sultan Ibrahim sementara nak tunggu Bukit Jalil siap sepenuhnya.

"Beliau nak bantu pasukan kita termasuk dalam persiapan ke Piala Asia ini dan ia menunjukkan sikap bagus beliau dalam sama-sama membantu pasukan negara," katanya secara ekslusif kepada Arena Metro, hari ini.

Skuad kendalian Pan-gon mencipta sejarah apabila mara ke pentas Piala Asia selepas kali terakhir layak secara merit pada 1980 yang berlangsung di Kuwait.

Ujar Hamidin, beliau berharap akan muncul lebih ramai pemilik kelab Liga Malaysia seperti Tunku Ismail.

"Sebenarnya kita perlu lebih ramai lagi orang macam Tunku Ismail yang datang membantu pasukan kita.

"Bukan beliau saja (Tunku Ismail), kalau boleh kita perlukan bantuan daripada mana-mana pihak juga. Bila ramai yang membantu, tak mustahil pasukan kita boleh capai tahap lebih tinggi selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 4:00 PM