SARDOR Kulmatov menjadi pemain import terbaharu Terengganu FC musim ini. FOTO TFC
SARDOR Kulmatov menjadi pemain import terbaharu Terengganu FC musim ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain kebangsaan Uzbekistan, Sardor Kulmatov menjadi pemain import keempat 'dirantai' Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini.

Bekas pertahanan kelab PFC Sogdiana dalam Liga Uzbekistan berusia 29 tahun itu mengikat kontrak selama setahun bersama skuad Penyu.

Menerusi kenyataan media Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, hari ini, pemain beragama Islam yang pernah beraksi bersama bekas kelabnya menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir Piala AFC tahun lalu menjadi pilihan di posisi pertahanan tengah menggantikan pemain musim lalu, Pape Diakite.

"Pemain kelahiran Uzbekistan, Sardor Kulmatov secara rasmi diumumkan sebagai pemain baharu pasukan TFC bagi musim 2023.

"Pemain berketinggian 1.85 meter itu menjadi pilihan utama pengendali baharu TFC, Tomislav Steinbrucnker untuk mengisi posisi pertahanan tengah.

"Pemain yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Sogdiana FC dalam liga utama Uzbekistan mempunyai pengalaman yang luas di pentas Asia dengan berjaya membantu pasukan itu melangkah jauh dalam saingan Piala AFC sehingga ke peringkat separuh akhir pada tahun lalu sebelum tewas kepada wakil Malaysia, KL City FC menerusi penentuan sepakan penalti 5-3.

"Kehadiran pertahanan kental itu semestinya bakal menambah lagi keyakinan pasukan untuk mengharungi kancah Liga M dan Piala AFC pada musim ini.

"Pemain itu bakal menjalani latihan pertamanya pada petang ini bawah kendalian penolong jurulatih, Badrul Afzan Razali sebelum kehadiran Steinbruckner pada Rabu ini," demikian menurut kenyataan itu.

Sebelum ini TFC Sdn Bhd sudah mengikat kontrak pemain import kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn, Sony Norde (Haiti) dan menyambung kontrak pemain musim lalu, Habib Haroon dari Bahrain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 5:39 PM