REAKSI kecewa Queiroz (kiri) selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
REAKSI kecewa Queiroz (kiri) selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Doha: Jurulatih Iran, Carlos Queiroz meratapi kegagalan pasukannya selepas tersingkir daripada Piala Dunia dengan kekalahan 0-1 kepada Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Iran tersingkir daripada Kumpulan B selepas gagal meraih sekurang-kurangnya keputusan seri yang boleh memastikan pasukan Asia itu mara ke pusingan 16 terakhir buat kali pertama.

Selepas penyerang AS, Christian Pulisic menjaringkan gol pada separuh masa pertama di Stadium Al Thumama, Iran mencipta beberapa peluang terbaik di babak kedua.

Pemain gantian, Saman Ghoddos mensia-siakan dua peluang terbaik sebelum AS bertahan untuk memastikan kemenangan milik mereka.

"Impian sudah berakhir. Separuh masa pertama adalah milik AS apabila mereka memulakan permainan dengan lebih baik berbanding kami.

"Mereka lebih cepat dan menguasai permainan. Mereka berhak mendapat gol itu.

"Tetapi separuh masa kedua adalah sebaliknya, kami kembali kuat. Kami mula menutup dan menghentikan pergerakan AS.

"Malangnya bola sepak sentiasa menghukum pasukan yang tidak menjaringkan gol. Secara mudahnya, pasukan yang menjaringkan gol pada separuh masa pertama layak untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Kami tidak menjaringkan gol dan kami dihukum dengan keputusan ini. Keputusan seri adalah lebih adil. Tetapi dalam bola sepak, perkataan adil tidak wujud.

"Jika kami menjaringkan gol pada separuh masa kedua, ceritanya mungkin berbeza," kata Queiroz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 7:26 AM