MD Dali   menjawab pertanyaan wartawan di Bilik Sidang Media Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Bernama
MD Dali menjawab pertanyaan wartawan di Bilik Sidang Media Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jangan campur aduk politik dan bola sepak. Itu amaran kepada penyokong didapati membawa bendera berunsur politik pada aksi final Piala Malaysia membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) esok.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata, tindakan tegas akan diambil kepada penyokong yang ingkar terhadap arahan terbabit kelak.

Beliau berkata, penyokong kedua-dua pasukan seharusnya lebih matang dengan tidak membawa unsur politik ke stadium kerana boleh mengeruhkan keharmonian perlawanan.

"Mungkin kita masih terawang-awang dan teringatkan dengan apa yang berlaku dalam negara ketika ini. Bendera membabitkan politik, mungkin di luar tu kata tak puas hati orang itu dan ini, jangan bawa masuk ke dalam stadium yang datangkan provokasi kepada negara," katanya pada sidang media keselamatan Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pegawai dan anggota yang ditugaskan menjaga keselamatan luar dan dalam stadium menjelang perlawanan JDT menentang Selangor adalah mencukupi.

"Ia termasuk PDRM, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU), unit anjing pengesan PDRM (K9), unit berkuda, unit pemusnah bom, jabatan siasatan dan penguatkuasaan trafik (JSPT) dan response team.

"Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan di setiap pintu masuk stadium serta selepas penonton memasuki pekarangan stadium.

"Pemeriksaan akan meliputi pemeriksaan tubuh badan, dalam beg serta barangan yang dibawa penonton" katanya.

Menurutnya, polis juga akan menempatkan anggota berpakaian preman di kalangan penyokong kedua-dua pasukan untuk memastikan perlawanan berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 2:33 PM