PASUKAN Mexico menjalani latihan di Stadium Al Khor SC. FOTO Reuters
PASUKAN Mexico menjalani latihan di Stadium Al Khor SC. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Mexico dan Poland akan memulakan kempen Piala Dunia Rabu ini dengan menyedari bahawa keputusan perlawanan bakal memberi bayangan siapa akan melepasi peringkat kumpulan.

Pasukan pilihan dalam kumpulan mereka, Argentina akan memulakan aksi menentang Arab Saudi dan jika tiada kejutan besar dalam perlawanan itu, tempat kedua mungkin terarah kepada Mexico atau Poland.

Rekod Mexico tidak pernah kalah dalam aksi pertama Piala Dunia menjadikan ia satu statistik yang harus digeruni mana-mana pasukan.

Mereka mencatat lima kemenangan dan seri sekali dalam enam saingan edisi terakhir Piala Dunia dan sentiasa mara ke pusingan kalah mati.

Kali terakhir Mexico gagal melepasi peringkat kumpulan ialah pada 1978 ketika mereka tidak meraih sebarang mata dan Poland muncul juara kumpulan.

Bagaimanapun, ia dijangka sukar buat Mexico untuk membuat permulaan sempurna kali ini.

Skuad bimbingan jurulatih Gerardo Martino mempunyai kekurangan di bahagian serangan dan yang memeningkan penyokong Mexico, pengendali kelahiran Argentina itu memutuskan untuk meninggalkan penjaring terbanyak sepanjang zaman mereka, Javier Hernandez walaupun menunjukkan prestasi yang baik musim ini.

Melemahkan lagi suasana, Mexico tewas perlawanan persahabatan pra Piala Dunia terakhir menentang Sweden, apabila melepaskan gol pada lewat permainan dan menuju ke Qatar sehari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 8:11 PM