AKSI Davies ketika Kanada berdepan Uruguay pada aksi persahabatan di Bratislava, Slovakia pada 27 September lalu. FOTO AFP
AKSI Davies ketika Kanada berdepan Uruguay pada aksi persahabatan di Bratislava, Slovakia pada 27 September lalu. FOTO AFP
AFP

Ottawa: Apabila Alphonso Davies masuk ke Stadium Al Rayyan untuk berdepan barisan bintang Belgium pada 23 November depan, ia menandakan langkah terkini dalam perjalanannya dari kem pelarian ke pentas Piala Dunia.

Pemain Kanada yang juga pemain sayap Bayern Munich itu dipenuhi dengan karier yang mencipta beberapa rekod ketika usia baru mencecah 22 tahun.

Pada usia begitu, ramai pemain sebaya sedang membina nama untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi, tetapi Davies sudah boleh dianggap sebagai pemain veteran.

Empat gelaran Bundesliga, satu trofi Liga Juara-Juara Eropah dan satu gelaran Piala Kelab Dunia adalah sebahagian pengiktirafan dimiliki Davies selepas karier bola sepak profesional bermula ketika berusia 15 tahun di Major League Soccer (MLS).

Ia jauh berbeza berbanding bagaimana bek sayap itu memulakan kehidupannya.

Davies dilahirkan di kem pelarian di Ghana dan dia tinggal di situ selama empat tahun apabila keluarganya melarikan diri berikutan perang saudara di Liberia.

"Apabila kami keluar untuk mendapatkan makanan, kami terpaksa melangkah mayat," kata ibu Davies iaitu Victoria, ketika mengimbas kehidupan di kem pelarian itu.

Bagi mengelak hidup terus melarat, mereka berhijrah ke Kanada dengan bermula di Windsor, Ontario, kemudian ke Edmonton, Alberta.

Di negara yang menganggap hoki ais sebagai sukan utama, Davies mempamerkan bakat luar biasa dalam bola sepak ketika di sekolah rendah sebelum kebolehannya itu menarik perhatian.

"Budak itu ada anugerah dalam sukan berkenaan," kata Tim Adams, pengasas liga selepas sekolah 'Free Footie' apabila Davies memulakan langkahnya.

Dia kemudian menyertai akademi bola sepak di Edmonton dan pada usia 14 tahun, dia menjalani percubaan di Vancouver, sebelum dipilih menyertai sistem remaja Whitecaps.

Dari situlah segalanya bermula dan ketika berusia 15 tahun lapan bulan, dia menjadi pemain termuda Kanada untuk beraksi di MLS.

Pada usia 16 tahun tujuh bulan, dia menjadi pemain termuda dalam skuad kebangsaan Kanada selepas diberi kerakyatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 2:29 PM