Marsch sudah tidak mahu lagi melihat Leeds terus kalah. FOTO Reuters
Marsch sudah tidak mahu lagi melihat Leeds terus kalah. FOTO Reuters
Reuters

Leeds: Pengurus Leeds United, Jesse Marsch sudah muak dengan kekalahan pasukannya berikutan beberapa aksi baru-baru ini dalam Liga Perdana Inggeris tatkala mereka mempersiapkan diri berkunjung ke Liverpool Ahad ini.

Leeds tewas empat perlawanan liga berturut-turut dan mengharungi lapan perlawanan tanpa kemenangan.

Pengendali Amerika Syarikat berusia 48 tahun itu hanya memenangi tujuh daripada 24 perlawanan ketika mengendalikan Leeds sejak beliau mengambil alih tugas daripada Marcelo Bielsa yang dipecat Februari lalu.

"Saya tidak pernah kalah selama ini ketika 14 tahun menjadi pemain dan 13 tahun membimbing pasukan. Jadi saya tidak pernah tumpas sebanyak ini dalam karier.

"Saya sudah bosan dengan perkara ini dan saya sedang melihat siapa yang boleh diharapkan untuk aksi tahap tertinggi.

"Saya sudah penat beraksi di mana kami lebih baik daripada pasukan lawan dan berjalan keluar tanpa sebarang mata.

"Saya juga sudah muak di mana kami lebih baik daripada pasukan lawan tapi membenarkan gawang dibolosi dengan mudah, penat tidak dapat keputusan yang sepatutnya diraih," katanya.

Leeds tidak mencatat kemenangan sejak Ogos dan sekarang ini berada di zon penyingkiran di tempat ke-18 dengan mengumpul sembilan mata daripada 11 perlawanan, termasuk kalah 2-3 di laman sendiri kepada Fulham Ahad lalu.

Pertahanan, Stuart Dallas dan pemain tengah Adam Forshaw terlepas untuk berkunjung ke Anfield akibat kecederaan.

Marsch juga menambah beliau akan membuat keputusan saat akhir mengenai status Leo Hjelde, Joe Gelhardt, Rodrigo Moreno, Luis Sinisterra dan Tyler Adams.

"Kita akan lihat dalam tempoh 48 jam mengenai status kesemua pemain ini," kata Marsch.

Liverpool juga berdepan permulaan yang mengecewakan musim ini dan berada di tempat kelapan dengan 16 mata daripada 11 perlawanan.

"Bukannya kami nampak kelemahan dalam diri mereka (Liverpool)...kami akan mempunyai pelan permainan dan kami akan cuba berpegang padanya dan kami akan cuba melaksanakannya sebaik mungkin untuk memberi peluang terbaik dalam perlawanan itu.

"Liverpool adalah antara yang terbaik di dunia sejak empat atau lima tahun lalu. Saya fikir, tidak kira apa pun, (mereka mempunyai) sekumpulan pemain profesional yang memahami apa tuntutannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 10:32 AM