PEMAIN  Sri Pahang FC,  Muslim Ahmad diasak pemain Sabah FC, Saddil Ramdani.
PEMAIN Sri Pahang FC, Muslim Ahmad diasak pemain Sabah FC, Saddil Ramdani.
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh mahu anak buahnya menamatkan aksi Liga Super berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan kemenangan di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Katanya, kekalahan 1-2 di tangan Sabah FC Selasa lalu, cukup perit dan perlu dilupakan untuk kembali berada pada prestasi lebih baik.

"Saya harap pemain tidak mengulangi kesilapan terutama hilang tumpuan pada penghujung perlawanan seperti yang dipersembahkan ketika tewas kepada Sabah.

"Ketika mampu mengutip tiga mata, pemain hilang fokus yang menyebabkan Sri Pahang keciciran mata ketika pasukan begitu mengharapkan kemenangan.

"Kemenangan penting untuk menentukan kedudukan lebih baik bagi mengharungi kempen Piala Malaysia nanti," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Selepas mengharungi 21 perlawanan, Sri Pahang mengutip 25 mata dan menduduki tempat kelapan saingan Liga Super.

Namun, kedudukan itu belum selamat kerana boleh berubah jika tewas kepada NSFC manakala PJ City yang berada di kedudukan kesembilan menang ke atas Kuala Lumpur City FC.

Ini kerana jika Sri pahang menamatkan kedudukan kesembilan, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan menanti pada pusingan awal piala berprestij itu.

Justeru, Dollah mahu anak buahnya mengekalkan komitmen sepanjang 90 minit perlawanan untuk memastikan tiga mata menjadi milik skuad Tok Gajah.

"Bagi saya ketika berdepan Sabah Selasa lalu, mereka bermain baik tetapi kelekaan pada lima minit terakhir menyebabkan lawan mencatat kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 6:12 PM