DIAKITE (kiri) jadi mangsa rasis oleh penyokong Melaka United FC pada perlawanan di Stadium Hang Jebat, Jumaat lalu. FOTO GHAZALI KORI
DIAKITE (kiri) jadi mangsa rasis oleh penyokong Melaka United FC pada perlawanan di Stadium Hang Jebat, Jumaat lalu. FOTO GHAZALI KORI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Permohonan maaf daripada Melaka United FC (MUFC) membabitkan isu perkauman terhadap pertahanan import Terengganu FC (TFC), Pape Diakite pada pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Hang Jebat, Jumaat lalu tidak bermakna kelab terbabit sudah selamat.

Ini kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak akan menutup buku isu rasis itu bagi memastikan perbuatan terbabit dapat dibendung dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.

Situasi terbabit diakui Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam apabila menyatakan pihaknya tetap menunggu laporan daripada komisioner perlawanan bagi tindakan lanjut.

"Kami menunggu laporan daripada komisioner perlawanan dan akan melakukan siasatan lanjut membabitkan kedua-dua pasukan itu.

"Melaka United mengetahui situasi berkenaan dan sudah meminta maaf berkaitan kejadian terbabit, namun MFL tetap mahu mengetahui lebih lanjut berkaitan insiden berkenaan.

"Apa yang saya ingin katakan, tiada tempat untuk insiden berkenaan dalam bola sepak di negara ini. Perbuatan rasis dan kebencian perlu ditegah dalam bola sepak kita," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, dalam aksi berkesudahan skuad Penyu melakar kemenangan 4-2 hasil hatrik Kipre Tchetche dan satu lagi menerusi Mohd Faisal Halim, pemain beragama Islam kelahiran Senegal itu mendakwa dipanggil dengan gelaran 'Negro bodo' ketika beraksi di atas padang.

Situasi terbabit mengejutkan pemain terbabit apabila panggilan berunsur perkauman itu seharusnya tidak berlaku pada era bola sepak moden.

Selain itu, Stuart berkata, hukuman kepada MUFC bergantung kepada laporan diterima pihaknya selain tindakan lanjut pasukan menangani masalah terbabit.

Katanya, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu laporan itu sebelum tindakan susulan diambil.

Sementara itu, MUFC tampil untuk membuat permohonan maaf kepada Diakite di atas sikap kurang bijak yang ditunjukkan penyokong mereka.

"Pihak Melaka United FC dengan ini ingin memohon maaf kepada pihak Terengganu khususnya kepada pemain Diakite di atas tindakan atau kata-kata perkauman oleh segelintir penonton di Stadium Hang Jebat," tulisnya di laman sosial Melaka United FC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 5:38 PM