MANUEL Ott (kanan) tegaskan mentaliti menang perlu ada dalam diri setiap pemain. FOTO TFC
MANUEL Ott (kanan) tegaskan mentaliti menang perlu ada dalam diri setiap pemain. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tonggak tengah Terengganu FC (TFC), Manuel Ott menegaskan 'winning mentality' begitu penting pada saat ini dalam misi memburu kemenangan hatrik pada baki tiga perlawanan terakhir Liga Super.

Bekas tonggak Melaka United FC (MUFC) musim lalu itu turut meletakkan impian yang tinggi strategi yang dirancang pasukannya menjadi walaupun terpaksa berkunjung ke laman lawan dalam tiga aksi terakhir liga.

Justeru pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina berusia 30 tahun itu mengharapkan skuadnya mampu mengulangi pencapaian menundukkan skuad Hang Tuah pada aksi pusingan pertama sebelum berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

"Selepas merakam kemenangan menundukkan Sabah FC minggu lalu, momentum kami semakin meningkat untuk tamatkan tiga aksi terakhir liga musim ini dengan noktah kemenangan.

"Namun 'winning mentality' perlu ada dalam diri setiap pemain selain bekerja sebagai satu kumpulan bagi memastikan misi untuk menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya di tempat ketiga tercapai bagi melangkah ke pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

"Jadi dengan situasi yang melanda pasukan MUFC selepas tidak dibenarkan beraksi dalam pentas Piala Malaysia musim ini, sudah tentu ia peluang terbaik buat kami untuk melebarkan rekod kemenangan musim ini.

"Namun saya ingatkan diri dan rakan sepasukan, tiada perlawanan mudah kerana pasukan yang bersaing dalam Liga Super mempunyai kekuatan dan kelebihannya yang tersendiri," katanya yang menghormati bekas pasukannya itu.

Ketika ditanya situasi terkini pasukannya, dia yang lebih mesra dipanggil 'Manny' menjelaskan semangat berpasukan begitu harmoni.

"Walaupun timbul desas-desus berhubung penghijrahan jurulatih dan pemain musim depan, ia tidak menjejaskan persiapan pasukan, kami profesional," katanya yang akui tidak sabar untuk kembali beraksi di Stadium Hang Jebat buat kali pertama musim ini selepas berhijrah ke Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 10:38 PM