TMJ ketika sesi soal jawab bersama peminat semalam. FOTO Johor Southern Tigers
TMJ ketika sesi soal jawab bersama peminat semalam. FOTO Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Adakah benar pengendali baharu Perak FC, Lim Teong Kim sudah 'pokai' kerana tiada pekerjaan hingga sanggup menerima tawaran pasukan Liga Perdana itu?

Demikian antara satu daripada dua situasi mungkin dihadapi bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu yang dibayangkan oleh pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kejayaan pengurusan Perak FC mengikat Teong Kim sememangnya cukup mengejutkan apatah lagi semua pihak mengetahui gaji yang ditetapkan oleh bekas jurulatih akademi kelab gergasi Jerman, Bayern Munich itu cukup tinggi.

Berdasarkan rekod, ketika Teong Kim berada di AMD, beliau pernah menerima gaji mencecah RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai yang didedahkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 2018 lalu.

Malah, Tunku Ismail turut pernah berkongsi bekas pemain skuad Harimau Malaya dari 1982-1991 itu meminta gaji sebanyak 70,000 euro sebulan yang dianggarkan sekitar RM327,000.

Kata Tunku Ismail dalam sesi soal jawab bersama peminat yang diadakan di bilik sidang media Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, beliau mengandaikan kemungkinan dua senario yang menyebabkan skuad The Bos Gaurus berjaya menandatangani jurulatih itu.

"Sama ada Perak betul-betul kaya ataupun dia (Teong Kim) terima gaji lebih kecil kerana tiada kerja. Itu sahaja ceritanya. Saya 'very straightforward', " katanya ringkas di depan penyokong JDT yang turut disiarkan secara langsung di media sosial Facebook kelab terbabit.

Terdahulu, pada 13 September lalu, Perak FC mengumumkan pelantikan Teong Kim sebagai jurulatih baharu dengan tawaran kontrak dua tahun dengan pilihan memperbaharui kontrak untuk setahun lagi.

Sebagai rekod, Teong Kim memiliki pengalaman melatih selama 12 tahun pasukan Bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich dan melatih pemain seperti Thomas Muller, David Alaba, Toni Kroos dan Emre Can.

Pengalaman beliau juga termasuk berkhidmat di Bologna FC dan mengendalikan bakat seperti Nicola Sansone dan Roberto Soriano.

Di peringkat tempatan, Teong Kim pernah memegang jawatan Pengarah Projek Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) pada 2013 dan dilantik sebagai Pengarah AMD pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 10:52 AM