AKSI antara Sri Pahang menentang TFC sebentar tadi. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
AKSI antara Sri Pahang menentang TFC sebentar tadi. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang gagal mencatat kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kekalahan skuad Tok Gajah itu turut memadamkan rekod lima perlawanan tanpa tewas.

Namun, pada perlawanan itu, pelawat lebih banyak menguji benteng tuan rumah terutama menguasai 15 minit pertama perlawanan.

Ia bermula dengan percubaan dari luar kotak penalti Habib Haroon yang berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa seawal minit kelima.

Pada minit ke-13, kapten TFC, Tchetche Kipre turut berpeluang menjaringkan gol pendahuluan tetapi bola terus ke dakapan Samassa.

Selang seminit, Nik Muhammad Shariff Haseefy Mohd Lazim pula mempunyai peluang sama untuk membolosi gawang tuan rumah tetapi mudah diselamatkan Samassa.

Peluang terbaik Sri Pahang hadir pada minit ke-19, tetapi tendangan kapten pasukan, Muslim Ahmad melepasi palang biarpun berdepan gawang lawan.

Seminit bersambung babak kedua, rembatan pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo dalam kotak penalti meletakkan tuan rumah mendahului TFC 1-0.

Namun, pada minit ke-72, kerja keras TFC untuk mencari gol penyamaan berhasil selepas pemain tengah TFC, Habib berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

Pada minit ke-87, Petrus Shitembi menceriakan penyokong TFC apabila menjaringkan gol kedua buat pasukan itu.

Pada perlawanan itu, Sri Pahang harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal memberikan tekanan kepada TFC yang akhirnya terpaksa akur terlepas tiga mata di halaman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 10:30 PM