PENYERANG  Sabah FC Mohd Amri Yahyah (kiri) cuba melepasi   pertahanan Selangor FC  di Stadium Likas. FOTO Bernama
PENYERANG Sabah FC Mohd Amri Yahyah (kiri) cuba melepasi pertahanan Selangor FC di Stadium Likas. FOTO Bernama
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Selangor FC melangkah bergaya ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Sabah FC 2-0 di Stadium Likas, malam ini.

Skuad Red Giants itu tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Hyuri Henrique De Oliveira Costa berjaya meledak gol pada minit pertama permainan.

Gol itu terhasil selepas dia berjaya melepasi perangkap offside seterusnya mudah menewaskan penjaga gol Sabah FC Damien Lim yang meluru keluar dari posisinya.

Beraksi di hadapan 20,000 penyokong, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee cuba bangkit menyamakan kedudukan namun serangan-serangan mereka gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Selangor FC juga beberapa kali mencemaskan kubu tuan rumah menerusi serangan pantas namun percubaan yang dilakukan gagal menghasilkan gol selain berjaya diselamatkan Damien.

Bermula babak kedua, permainan berlangsung rancak apabila kedua-dua pasukan saling melakukan serangan namun gol yang diburu mereka gagal ditemui.

Keadaan hujan lebat di separuh masa kedua juga menyebabkan rentak kedua-dua pasukan sedikit terjejas namun nasib lebih memihak kepada Selangor FC apabila berjaya memperolehi gol kedua.

Jaringan itu dihasilkan Herlison Caion pada minit ke-80 menerusi sepakan lambung yang berjaya menewaskan Damien buat kali kedua.

Sabah FC kemudian cuba melakukan serangan bertali arus menerusi hantaran-hantaran jauh namun ianya sudah pun terlewat bagi mereka.

Kedudukan 2-0 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan Suhaizi Shukri meniupkan wisel penamat, sekali gus membolehkan Selangor FC melangkah ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 9:55 PM