WALAUPUN kekal sebagai kapten Manchester United, kedudukan Harry Maguire dalam kesebelasan utama tidak terjamin. FOTO AFP
WALAUPUN kekal sebagai kapten Manchester United, kedudukan Harry Maguire dalam kesebelasan utama tidak terjamin. FOTO AFP
Agensi

London: Erik ten Hag memberi amaran kepada Harry Maguire bahawa keputusannya mengekalkan pemain pertahanan England itu sebagai kapten Manchester United tidak menjamin tempatnya dalam kesebelasan utama di Old Trafford.

Ten Hag memberi undi percaya dengan mengekalkan lilitan lengan kepada Maguire, walaupun prestasi pemain berusia 29 tahun itu menjunam pada musim lalu.

"Harry memang mengagumkan dan saya menjangkakan lebih baik daripadanya," kata Ten Hag.

"Saya selalu melihat kedudukan sebagai kapten adalah isu yang saya tetapkan.

"Bagi saya, perkembangan pasukan adalah detik penting dan saya selalu bercakap mengenai kumpulan pemimpin. Kapten memang sangat penting dan saya gembira dengannya."

Bagaimanapun, kehadiran Lisandro Martinez dengan yuran perpindahan £55.3 juta (RM294.26 juta) dari Ajax ke United, memberi lebih tekanan kepada Maguire, pada ketika Raphael Varane dan Victor Lindelof turut bersaing untuk merebut tempat di tengah benteng.

"Kami memiliki ramai bek tengah yang bagus dan Harry adalah antaranya," kata Ten Hag.

"Dia boleh bermain di sebelah kiri dan kanan kerana menggunakan kaki kanan.

"Tetapi, ia adalah persaingan dalaman dan sesuatu yang diperlukan kelab seperti Man United. Anda tidak boleh menang dengan 11 pemain sahaja, kami perlukan satu skuad terutama banyak perlawanan perlu dihadapi dalam semusim.

"Saya fikir dia pemain pilihan utama. Dia sudah buktikan sebelum ini, tetapi dia perlu buktikan untuk masa kini dan masa depan. Saya akan menyokongnya selagi mampu, tetapi di akhirnya, dia perlu melakukannya untuk diri sendiri dan dia memiliki kualiti untuk melakukannya."

Pada ketinggian 1.75 meter, Martinez boleh dianggap sebagai bek tengah yang kecil, terutama apabila hadir ke bola sepak Inggeris buat kali pertama.

Tetapi, Ten Hag berkata: "Saya fikir dia bukan paling tinggi, tetapi agak bagus untuk perebutan bola di udara. Saya selesa dengan keadaan itu. Sudah pasti, anda perlukan keseimbangan. Dia memiliki jangkaan tepat dan itu adalah kelebihannya.

"Dia membawa gaya permainan agresif Amerika Selatan, kawalan bola dan semangat kepada pasukan. Saya fikir ia sangat sesuai dengan Manchester United dan gaya kami bermain."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 10:43 AM