CRISTIANO Ronaldo. FOTO Agensi
CRISTIANO Ronaldo. FOTO Agensi
Agensi

London: Cristiano Ronaldo akan mengadakan rundingan segera dengan bos baharu, Erik ten Hag apabila dia kembali ke Manchester minggu ini.

Bintang Portugal itu yang bercuti di Majorca bersama teman wanitanya, Georgina, sudah menyatakan dengan jelas mahu meninggalkan United untuk membolehkannya terus beraksi di Liga Juara-Juara.

Rakan sepasukan mengharapkannya melaporkan diri pada hari ini apabila kebanyakan mereka yang bertugas bersama skuad kebangsaan masing-masing bulan lalu akan kembali menjalani latihan.

Pemain berusia 37 tahun itu sudah membuat keputusan mahu meninggalkan United dan ejennya sedang giat mencari kelab terbaru untuknya.

Chelsea dan Bayern Munich kemungkinan menjadi destinasi seterusnya untuk Ronaldo manakala Napoli juga berminat untuk menawarkannya kembali ke Itali.

Sporting Lisbon dan Porto kedua-duanya juga sedia mempertimbangkan untuk membolehkannya kembali beraksi di tanah air sendiri.

Tetapi United sudah berkeras dengan pendirian bahawa bintang Portugal itu masih terikat dengan kontrak dan bukan untuk dijual.

Ronaldo menjaringkan 24 gol musim lalu manakala Red Devils sedang bergelut untuk membawa masuk penyerang baharu pada musim panas ini.

Mereka gagal mendapatkan pemain Uruguay, Darwin Nunez apabila Liverpool pantas menyambar pemain itu dan kini mensasarkan bintang Brazil dari Ajax pula, Antony.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 10:40 AM