GABRIEL Jesus dijangka akan menandatangani kontrak lima tahun bersama Arsenal. FOTO AFP
GABRIEL Jesus dijangka akan menandatangani kontrak lima tahun bersama Arsenal. FOTO AFP
Agensi

London: Arsenal dilaporkan pada peringkat akhir untuk menandatangani Gabriel Jesus selepas terma peribadi dipersetujui dengan penyerang Manchester City itu.

The Gunners bersetuju dengan yuran £45 juta (RM243.40 juta) dengan City dan rundingan itu kini lengkap 100 peratus, kata Fabrizio Romano.

Jesus yang sebelum ini pernah bekerja bersama Mikel Arteta apabila pengurus itu menjadi pembantu jurulatih di City, dilaporkan akan menandatangani kontrak lima tahun dengan Arsenal.

Difahamkan, City akan menggunakan hasil jualannya untuk mendapatkan pemain tengah Leeds, Kalvin Phillips selepas City bersetuju dengan tawaran £42 juta (RM227.17 juta) serta nilai tambahan untuk pemain antarabangsa England itu.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu sudah mendapatkan Erling Haaland dari Borussia Dortmund, yang bermakna mereka boleh menjual Jesus.

Rundingan itu dijangka menamatkan pencarian Arsenal untuk mendapatkan penyerang selepas Alexandre Lacazette kembali ke Lyon.

Arsenal memutuskan untuk tidak membeli penyerang baharu ketika jendela perpindahan pada Januari lalu walaupun Pierre-Emerick Aubameyang menyertai Barcelona.

Awal bulan ini, penyerang muda, Eddie Nketiah menandatangani kontrak baharu selama lima tahun di kelab itu.

Jesus sudah lama menjadi sasaran Arteta yang mengharapkan pemain antarabangsa Brazil itu akan menambah ketajaman jentera serangan.

Sebelum ini, Arsenal menandatangani pemain tengah, Fabio Vieira dari Porto manakala pemain sayap muda, Marquinhos menyertai pasukan dari Sao Paulo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 10:34 PM