PEMAIN Penang FC bekerja keras menyekat kelincahan pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim (dua dari kanan) pada perlawanan di Stadium Bandaraya, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG
PEMAIN Penang FC bekerja keras menyekat kelincahan pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim (dua dari kanan) pada perlawanan di Stadium Bandaraya, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: "Alhamdulillah, saya amat bangga dengan kesungguhan pemain untuk mendapat kemenangan pertama," kata Ketua Jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, skuad Penang FC memperoleh dua gol menerusi Hilal El-Helwe dan T Saravanan manakala gol tunggal skuad Penyu dijaringkan pemain sayap lincah, Faisal Halim.

Zainal Abidin berkata, kesungguhan ditampilkan anak buahnya begitu berbeza dan berharap ia dapat dikekalkan demi membawa pasukan yang terperosok ke dasar liga itu maju ke hadapan.

"Kita tahu TFC memiliki enam serangkai yang cukup berbahaya iaitu Manuel Ott, Habib Haroon, Faisal Halim, Faiz Nasir, Tchetche Kipre dan Sean Sherman.

"Jadi pemain mengawal keenam-enam ini dengan begitu baik mengikut arahan diberi dan di sinilah nampak jelas kesungguhan mereka sehingga meraih kemenangan," katanya.

Beliau mengakui masih terdapat bahagian perlu diperbaiki dalam mempersiapkan pasukan untuk perlawanan akan datang dengan prestasi skuad Harimau Kumbang masih boleh dioptimumkan pada tahap lebih baik.

"Saya tidak menafikan mereka bermain dalam keadaan tertekan, walaupun kita buat 'defending' atau pertahanan sepasukan yang baik, tapi kita masih lagi kehilangan bola.

"Jadi, saya akan menunjukkan semula pada mereka foto dan video perlawanan tadi (semalam) untuk mereka memahami transisi corak permainan selepas kita membentuk pertahanan pasukan," katanya.

Mengulas mengenai ketiadaan Casagrande yang terpaksa direhatkan selepas menjalani pembedahan akibat tulang pipi retak, Zainal Abidin tidak menolak kemungkinan mengganti penyerang itu dengan pemain lain atau mengambil pendekatan lain yang dianggap baik untuk pasukan.

Sementara itu, pengendali TFC, Nafuzi Zain mengakui benteng pertahanan Penang FC begitu ampuh selain penjaga gol lawan beraksi dengan cemerlang meskipun asakan demi asakan dilancarkan anak buahnya terutama dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan.

"Terdapat kesilapan mudah dilakukan menyebabkan kami dihukum, sekali gus mencalar rekod tanpa kalah tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 11:47 AM