AKSI perlawanan Malaysia menentang Vietnam di temasya Sukan Sea Hanoi. -FOTO Ihsan FAM
AKSI perlawanan Malaysia menentang Vietnam di temasya Sukan Sea Hanoi. -FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Cukup perit untuk ditelan diterima namun pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara Brad Maloney tetap mampu 'tersenyum' dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya pada saingan separuh akhir bola sepak Sukan Sea Hanoi di Vietnam malam tadi.

Walaupun tewas 0-1 kepada tuan rumah menerusi jaringan tunggal pemain berusia 24 tahun, Nguyen Tien Linh pada minit ke-111, Maloney memuji barisan anak buahnya mampu bertahan 90 minit tanpa dibolosi Vietnam.

Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah, Maloney berkata, anak buahnya tetap mampu mempamerkan disiplin yang tinggi dengan menyekat kemaraan lawan.

"Cukup perit untuk menerima keputusan itu kerana kita dibolosi jaringan lewat permainan. Tetapi kita perlu faham bahawa Vietnam adalah pasukan yang terbaik dalam pertandingan ini.

"Pemain sudah bermain dengan sepenuh jiwa dan berikan apa yang mereka ada. Pemain beraksi tanpa rasa penat untuk 120 minit menentang pasukan yang sangat baik seperti Vietnam yang mempunyai fizikal dan ada kalanya beraksi dengan keras.

"Tetapi pemain tidak pernah mengalah dan tetap berjuang jadi saya sangat berbangga dengan mereka," katanya.

Sebagai rekod, skuad negara menurunkan pemain dengan rata-ratanya berusia 21 tahun sebagai persiapan sebelum mereka berentap ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan, bulan depan.

Dalam masa sama, Maloney turut mengakui ketiadaan tonggak pertahanannya, Harith Haiqal Adam Afkar yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan sedikit merencatkan perancangan memandangkan mereka kehilangan pemimpin di barisan pertahanan.

"Harith adalah pemimpin dan dia menguruskan barisan pertahanannya dengan baik. Permainan yang keras menyebabkan ada beberapa pemain kita mengalami kecederaan termasuklah penjaga gol yang meneruskan perlawanan dalam kesakitan.

"Ia bukanlah satu situasi yang ideal tetapi saya rasa pemain yang menggantikan mereka turut beraksi dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 2:50 PM