BUCK (kiri) dan Granovskaia bakal terima bonus. FOTO Agensi
BUCK (kiri) dan Granovskaia bakal terima bonus. FOTO Agensi
Agensi

London: Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia dan Pengerusi, Bruce Buck dilaporkan akan menerima bonus lumayan apabila pengambilalihan kelab dilengkapkan Todd Boehly.

Sejumlah £50 juta (RM273.97 juta) akan diberikan apabila era Boehly secara rasmi bermula.

Blues yakin tawaran £4.25 bilion (RM23.29 bilion) oleh konsortium diketuai Boehly akan diluluskan.

Granovskaia, 47, akan menerima £20 juta (RM109.59 juta) apabila perjanjian berkenaan dimeterai, menurut The Times.

Pasukan pengurusan Chelsea, termasuk Buck dan Granovskaia, dilaporkan akan menerima £50 juta (RM273.97 juta) apabila perjanjian itu selesai.

Sumber memberitahu The Times, pasangan berkenaan diberikan "bonus transaksi dan pengekalan" atas tugas dilakukan mereka bersama Kumpulan Raine yang mengendalikan proses pengambilalihan kelab.

Granovskaia akan diberikan 40 peratus daripada jumlah berkenaan manakala selebihnya akan dibahagikan antara Buck, 76, dan sepasukan kecil staf Chelsea yang bekerja menyelesaikan perjanjian itu sejak Abramovich mendedahkan dia akan menjual kelab berkenaan.

Difahamkan Boehly sendiri bertanggungjawab menentukan struktur bonus buat kakitangan kelab berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 9:46 AM