PENGENDALI Negeri Sembilan K Devan
PENGENDALI Negeri Sembilan K Devan
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Siapa yang layak berada di tangga kedua Liga Super bakal ditentukan menerusi pertemuan membabitkan Negeri Sembilan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC esok.

Sudah tentu bakal menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila masing-masing dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam usaha mencabar pendahulu liga Johor Darul Ta'zim (JDT).

Melihat kepada situasi semasa, Negeri Sembilan berada di kedudukan kedua dengan 14 mata manakala KDA FC perlu di tempat ketiga apabila mengutip 13 mata daripada lapan perlawanan.

Berdasarkan kepada pencapaian pada perlawanan terdahulu, Negeri Sembilan mempamerkan aksi konsisten walaupun tewas 0-1 kepada JDT baru-baru ini manakala KDA FC pula bergelut untuk meraih kemenangan selepas pertemuan terakhir dengan PJ City hanya mencatatkan keputusan seri.

Walaupun, dilihat berpeluang cerah untuk meraih kemenangan bertemu KDA FC, Pengendali Negeri Sembilan K Devan menyedari banyak 'kerja rumah' harus dilakukan bagi memantapkan lagi persembahan pasukan.

"Seperti yang kita tahu, setiap pasukan memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun untuk membentuk skuad yang mantap namun kita sekarang baru saja dalam tempoh dua tahun bersama.

"Pencapaian sekarang ini agak mengejutkan kerana mampu berada dalam kelompok tiga terbaik namun perkara penting adalah berusaha mencipta kemenangan pada setiap perlawanan," katanya.

Selain pertemuan membabitkan dua pasukan itu, turut akan berentap esok adalah Sarawak United menentang Kuala Lumpur City FC manakala Penang pula akan menerima kunjungan Sabah.

Sabah yang dipimpin Datuk Ong Kim Swee kini berada di tangga keempat liga menerusi 12 mata sekali gus berpeluang berada di kedudukan kedua liga jika berjaya meraih tiga mata menentang Penang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 2:50 PM