BENZEMA (empat kiri) meraikan kejayaan Real mara ke final Liga Juara-Juara. FOTO Reuters
BENZEMA (empat kiri) meraikan kejayaan Real mara ke final Liga Juara-Juara. FOTO Reuters
AFP

Madrid: Karim Benzema menjaringkan penalti pada masa kecederaan ketika Real Madrid melakukan satu lagi kebangkitan menakjubkan dalam Liga Juara-Juara untuk mengejutkan Manchester City 3-1 hari ini sekali gus menempah pertembungan dengan Liverpool pada aksi final.

City kelihatan hampir pasti melangkah ke final apabila Riyad Mahrez meletakkan mereka di depan 1-0 untuk 5-3 secara agregat.

Bagaimanapun Rodrygo yang masuk sebagai pemain gantian, menjaringkan dua gol lewat yang luar biasa minit ke-90 dan ke-91 untuk mengikat kedudukan 5-5 secara agregat.

Dengan City masih bergelut, Real dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Benzema untuk keputusan muktamad Real menang menerusi agregat 6-5 pada satu lagi perlawanan hebat di Santiago Bernabeu.

Musim ini, Real turut mempamer kebangkitan luar biasa ketika mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) pada pusingan 16 terakhir dan Chelsea di suku akhir tetapi pertemuan dengan City adalah kebangkitan paling dramatik.

City berdepan satu lagi kekecewaan apabila terpaksa menyaksikan Real mara ke final Liga Juara-Juara buat kali ke-17.

Kejayaan Real itu bermakna mereka akan bertemu Liverpool pada aksi final sekali gus dalam usaha memenangi piala berprestij itu buat kali ke-14.

"Satu lagi malam ajaib daripada Raja Eropah," tulis sepanduk yang terbentang di atas tempat duduk penonton sebelum sepak mula.

"Ia adalah kehebatan kelab ini, sebuah kelab yang tidak membenarkan anda berputus asa walaupun nampaknya segala-galanya sudah berakhir.

"Ia memberi anda kekuatan untuk terus berjuang dan percaya. Pada akhirnya kami mencapainya," kata jurulatih Real, Carlo Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 7:12 AM