DATUK Posa Majais. FOTO ARKIB NSTP
DATUK Posa Majais. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam bukan 'picisan' buat skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara apabila menjadi medan persiapan bagi mengharungi Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Uzbekistan, Jun ini.

Oleh itu, pengurus pasukan, Datuk Posa Majais mengharapkan barisan pemain mempamerkan aksi terbaik di temasya dwi tahunan itu sebagai bekalan mencipta keputusan positif di kancah pertandingan jauh lebih tinggi.

"Semoga kejayaan di Hanoi nanti dapat menjadi bekalan ke Uzbekistan. Sekurang-kurangnya kita mahu pergi sejauh mungkin pada Sukan Sea dan perlawanan di Uzbekistan lagi penting.

"Tempoh aksi di Hanoi dan Uzbekistan dekat, jadi kita mahukan semangat dari Sukan Sea itu diteruskan bagi saingan AFC pula. Kita akan lakukan yang terbaik untuk negara," katanya.

Pada temasya di Vietnam itu, skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama pemenang pingat emas sebanyak 16 kali, Thailand selain turut dicabar Kemboja dan Singapura.

Sekiranya nasib tidak menyebelahi skuad negara dan tersingkir awal pada temasya itu, mereka akan pulang dahulu ke tanah air dan terus menjalani latihan sebelum terbang ke Uzbekistan.

Namun jika anak buah Brad Maloney mara lebih jauh khususnya beraksi di final, mereka akan terus ke Uzbekistan selepas berakhirnya aksi mereka di Sukan Sea itu.

Bagi cabaran di Piala AFC B-23 itu, skuad negara akan menentang juara edisi 2020, Korea Selatan selain dua seteru Asia Tenggara iaitu Vietnam dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 4:59 PM