HEUNG Min (kanan) gembira selepas meledak hatrik bersama Spurs. FOTO Reuters
HEUNG Min (kanan) gembira selepas meledak hatrik bersama Spurs. FOTO Reuters
AFP

Birmingham: Son Heung Min meledak hatrik ketika Tottenham Hotspur menumpaskan Aston Villa 4-0 untuk mengukuhkan kedudukan di tempat keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dua lagi pencabar mereka, Arsenal dan Manchester United tumpas.

Heung Min membuka jaringan pada separuh masa dan Dejan Kulusevski menggandakan gol pada awal separuh masa kedua, sebelum pemain antarabangsa Korea Selatan itu menambah dua lagi gol.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Antonio Conte memungut 57 mata lima mata mengatasi pasukan tangga kelima, Arsenal dan enam mata meninggalkan West Ham serta Manchester United.

Villa bagaimanapun mempunyai peluang pada separuh masa pertama, sebelum Heung Min meletakkan pasukan pelawat di depan dan dia juga memberi pujian kepada penjaga gol Spurs, Hugo Lloris.

"Saya sangat gembira dapat meraih tiga mata, ia aksi yang sukar. Tanpa Hugo kami sudah ketinggalan 1-3 pada separuh masa pertama.

"Hugo menyelamatkan kami hari ini dan ia adalah aksi tangkas yang dipamerkan ketua pasukan ketika kami memerlukannya. Dia menyelamatkan setiap percubaan, ia sangat luar biasa," kata Heung Min.

Kekalahan menyaksikan Villla berada di tangga ke-12 dengan pengurus, Steven Gerrard mengakui keputusan berkenaan sangat sukar diterima.

"Bagaimanapun, ia adalah realiti dan kami harus menerimanya. Saya harus terima dan bertanggungjawab," kata Gerrard.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 10:15 AM