BINTANG Liverpool, Mohamed Salah berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan dengan Benfica di Lisbon, hari ini. FOTO AFP.
BINTANG Liverpool, Mohamed Salah berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan dengan Benfica di Lisbon, hari ini. FOTO AFP.
AFP

Lisbon: Pemain tengah Benfica, Adel Taarabt, semalam menegaskan kelab Portugal itu tidak takut dengan Liverpool menjelang perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah itu, hari ini.

Benfica akan berusaha melakar kejutan terhadap Liverpool, yang juga juara Eropah enam kali, selepas mereka menyingkirkan Barcelona di peringkat kumpulan serta Ajax di pusingan 16 terbaik.

"Sudah tentu kami ada peluang, kami kini di suku akhir," kata Taarabt, yang menghabiskan tujuh tahun di England bersama Tottenham, QPR dan Fulham.

"Kami menghormati Liverpool, tetapi tidak takut dengan mereka. Kami tahu kualiti dimiliki mereka."

Benfica yang muncul juara Piala Eropah pada 1961 dan 1962, kini di tangga ketiga Primeira Liga selepas berpisah dengan jurulatih, Jorge Jesus pada December dan kini dibimbing pengendali sementara, Nelson Verissimo.

"Jika kami bermain pada prestasi terbaik, kami mampu mengatasi kekuatan Liverpool," kata Verissimo pada sidang media di Lisbon menjelang sepak mula hari ini.

"Mereka pasukan hebat dan memiliki banyak pilihan serangan. Mereka boleh bermain secara terus atau menerusi sayap.

"Kami tahu perlu bertahan dengan tersusun dan padat seperti dilakukan menentang Ajax. Pertarungan ini sukar dan kami tahu perlu berada pada prestasi terbaik."

Sebelum itu, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata dia gembira dengan rundingan kontrak penyerang berbisa, Mohamed Salah dan pasukannya cergas sepenuhnya.

Media Britain sebelum ini melaporkan penyerang Mesir itu

yang akan tamat kontrak pada 2023, semakin hampir bersetuju dengan kontrak baharu yang akan memastikannya kekal di Anfield sehingga hujung karier.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 10:56 AM