MFL berharap semua pasukan mematuhi SOP Covid-19. FOTO Azhar Ramli
MFL berharap semua pasukan mematuhi SOP Covid-19. FOTO Azhar Ramli
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengingatkan semua pasukan Liga Malaysia sama ada dalam saingan Liga Super mahupun Liga Perdana mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah 'serangan' Covid-19.

Ingatan itu diberikan Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan buat semua pasukan yang mengharungi saingan liga utama domestik sepanjang musim ini bermula semalam.

"Dalam masa yang sama, saya juga berharap kesemua pasukan bertanding mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan oleh MFL dan sentiasa menanam semangat kesukanan tinggi sesama pasukan.

"Tidak dilupakan bahawa setiap kelab juga harus memahami sentimen pandemik Covid-19 di mana saya menuntut kesemua pasukan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana perjuangan kita menentang wabak ini masih belum berakhir," katanya.

Terdahulu, belum pun kempen Liga M bermula sudah terdapat kes Covid-19 membabitkan dua pasukan dari Liga Perdana iaitu PDRM FC dan skuad Projek FAM-MSN.

Perkara terbabit disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam semalam apabila pihaknya menerima permohonan daripada PDRM FC untuk menangguhkan aksi pasukan itu yang sepatutnya bermain Isnin ini menentang Kuching City FC.

Difahamkan, seorang jurulatih dan 14 pemain PDRM FC didapati positif dan kontak rapat bergelaja sementara dua jurulatih serta kesemua pemain skuad Projek FAM-MSN juga ditimpa nasib yang sama.

Lantas, MFL mengambil langkah proaktif apabila menunda kedua-dua aksi berkenaan dengan pindaan tarikh baharu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan lain, Ab Ghani yakin kempen liga musim ini akan berlangsung lebih sengit berbanding tahun-tahun sebelumnya selepas melihat kesungguhan pasukan sepanjang pramusim ini.

"Saya dapat melihat kesungguhan dan semangat setiap pasukan dalam memburu kejayaan pada kali ini apabila masing-masing serius mempersiapkan pasukan bagi mengharungi musim 2022 yang bakal bermula malam ini (semalam).

"Sudah pasti semua pihak khususnya penyokong mengharapkan satu saingan lebih berkualiti akan disajikan dan saya yakin bahawa Liga Malaysia musim 2022 akan menjadi lebih baik jika dibandingkan musim-musim terdahulu.

"Jika musim lalu kita hanya dapat menjalankan saingan Liga Super, Liga Perdana TM Piala Malaysia akibat kekangan disebabkan pandemik Covid-19, namun kali ini selepas dua tahun saingan kalah mati Piala FA akan dipertandingkan semula bagi mencari juara selaku wakil negara ke kejohanan Piala AFC," katanya.

Untuk rekod, juara lapan kali Liga Super berturut-turut Johor Darul Ta'zim muncul pemenang aksi pembuka tirai selepas menewaskan juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 2:52 PM