ANTARA aksi pemain Terengganu FC dengan Kedah Darul Aman FC sebelum ini. FOTO Bernama
ANTARA aksi pemain Terengganu FC dengan Kedah Darul Aman FC sebelum ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Menuju dua minggu terakhir sebelum saingan Liga Super menutup tirainya musim ini, persaingan merebut kedudukan selaku naib juara liga di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka bertambah sengit dan mendebarkan.

Ia susulan pengumuman terbaharu oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang hanya memberi satu slot automatik ke Piala AFC musim depan kepada naib juara Liga Super dengan satu lagi tiket ditawarkan buat juara Piala Malaysia.

Ini bermakna, dua slot Piala AFC yang diberikan kepada naib juara dan pasukan ketiga tidak lagi digunakan sekali gus bakal menghadir persaingan empat penjuru buat empat pasukan iaitu Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC, Penang FC dan Selangor FC yang dilihat berpeluang merebut satu tiket itu.

Bagaimanapun, slot ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan pula masih dikekalkan dengan juara Liga Super diberi tiket ke pentas tertinggi itu dengan JDT sah meraih slot berkenaan selepas muncul juara liga domestik buat kali kelapan berturut-turut.

Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hasaan, Liga Malaysia (Liga-M) masih kekal memperolehi slot 1+2 daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di mana satu kuota bagi ACL dan dua pasukan bertanding untuk Piala AFC pada musim depan.

"Liga-M masih mendapat slot 1+2 (ACL dan Piala AFC) daripada AFC dan ini jelas satu perkara positif kepada liga tempatan kita untuk beraksi dalam pertandingan yang cukup kompetitif membabitkan pasukan-pasukan dari Asia dan Asia Tenggara.

"Seperti biasa, juara Liga Super akan mendapat slot ke ACL dan amalan sebelum ini menyaksikan juara Piala FA dan naib juara Liga Super memperolehi slot ke Piala AFC secara automatik.

"Bagaimanapun disebabkan pandemik Covid-19, banyak merencatkan perancangan MFL di mana tahun ini adalah tahun kedua penganjuran Piala FA terpaksa dibatalkan.

"MFL memutuskan bahawa juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2021 akan mendapat slot ke Piala AFC bagi musim 2022," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ghani menjelaskan slot Piala AFC hanya menjadi milik pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super jika pemenang Piala Malaysia adalah juara atau naib juara Liga Super musim ini.

"Jika pemenang Piala Malaysia adalah pasukan yang menjuarai Liga Super atau pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Super, maka baki satu slot Piala AFC itu akan menjadi milik pasukan yang berada di tempat ketiga Liga Super 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 4:37 PM