MBAPPE ledak gol tunggal PSG. -FOTO AFP
MBAPPE ledak gol tunggal PSG. -FOTO AFP
AFP

Paris: Jaringan Kylian Mbappe pada waktu kecederaan membantu Paris Saint-Germain menewaskan Rennes 1-0 pada aksi Ligue 1 awal pagi tadi ketika mereka memanaskan badan untuk saingan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

Mbappe meledakkan gol selepas menerima hantaran Lionel Messi pada minit ketiga masa tambahan di Parc des Princes.

Keputusan itu menyaksikan PSG melebarkan kelebihan selaku pendahulu liga kepada 16 mata mengatasi Marseille di tempat kedua yang akan turun bertemu Metz.

Namun berdasarkan persembahan yang dipamerkan dari skuad Mauricio Pochettino mereka mungkin akan berdepan kesukaran melayan kunjungan Madrid untuk pusingan pertama 16 terbaik Liga Juara-Juara Rabu ini.

Pada aksi itu juga penyokong turut menyuarakan rasa tidak puas hati di Parc des Princes dengan membawa kain rentang tidak bersetuju dengan pengurusan kelab terutama pengarah sukan, Leonardo.

"Penyokong ada hak bersuara tetapi kami perlu bersama dalam tempoh yang penting musim ini," kata Pochettino.

"Ada perkara yang masih cuba diperbetulkan dan kita perlu percaya kepada kelab ini jika mahu menjadi antara kelab terbaik dunia."

Masa depan Mbappe terus mendominasi tajuk utama media di Paris, melebihi pertembungan dengan Madrid dengan ramai menjangkakan dia akan ke ibu kota Sepanyol itu pada penghujung musim apabila kontraknya tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 10:23 AM