TUCHEL dijangka kembali menyertai pasukan apabila Chelsea tiba di Abu Dhabi. FOTO AFP
TUCHEL dijangka kembali menyertai pasukan apabila Chelsea tiba di Abu Dhabi. FOTO AFP
Reuters

London: Jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel disahkan positif Covid-19, selepas perkara itu diumumkan kelab berkenaan beberapa jam sebelum aksi pusingan keempat Piala FA menentang Plymouth Argyle hari ini.

Tuchel akan melakukan pengasingan kendiri dan kelab berkenaan berkata, beliau akan kembali menyertai pasukan di Abu Dhabi minggu depan untuk saingan Piala Dunia Kelab.

Chelsea akan berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas tamat perlawanan Piala FA.

Juara Liga Juara-Juara itu akan berdepan sama ada pasukan dari UEA, Al Jazira atau juara Liga Juara-Juara AFC, Al Hilal dalam saingan separuh akhir di Stadium Mohammad Bin Zayed Stadium Rabu ini.

Jika Chelsea berjaya mara ke final, mereka akan kekal di Abu Dhabi sehingga 12 Februari.

Kali terakhir Chelsea beraksi di final Piala Dunia Kelab pada 2012 sebelum tumpas kepada wakil Brazil, Corinthians 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 8:00 PM