POGBA bukan pemain yang ingin dicari Xavi. FOTO AFP
POGBA bukan pemain yang ingin dicari Xavi. FOTO AFP
Agensi

Madrid: Khabar angin terus bertiup kencang selepas pertemuan di antara Presiden Barcelona, Joan Laporta dan ejen sensasi, Mino Raiola sekali gus menimbulkan spekulasi akan berlakunya perpindahan pemain terkenal.

Tidak dapat disangkal lagi sasaran utama mana-mana pasukan setakat ini adalah membabitkan Erling Haaland.

Penyerang Borussia Dortmund adalah pemain paling diburu setakat ini namun ada beberapa lagi pemain dikaitkan dengan Barcelona.

Antara pemain yang dikatakan turut berada dalam perbincangan berkenaan ialah membabitkan Xavi Simons, Noussair Mazraoui dan Paul Pogba.

Ia adalah khabar angin paling terkini yang membabitkan pemain tengah Manchester United dan Perancis itu.

Bagaimanapun, ada yang mengatakan bahawa pengurus Barca, Xavi menolak sekeras-kerasnya kehadiran Pogba.

Sama ada Barca akan menandatangani Pogba atau tidak Xavi dikatakan membuatkan perpindahan itu menjadi bertambah sukar.

Raiola dilaporkan berminat untuk menawarkan Pogba ke kelab Catalan itu dan ia bukan kali pertama.

Pogba sebelum ini dikaitkan akan berpindah ke Barca beberapa kali, termasuk ketika Laporta gagal membawa pemain itu pada 2015 sehingga menjejaskan jawatannya sebagai presiden kelab.

Xavi dikatakan mahu mencari pemain tengah namun bukan pemain seperti Pogba untuk memperkuatkan kembali Barca.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 2:49 PM