PENGENDALI Vietnam Park Hang-seo. -FOTO Agensi
PENGENDALI Vietnam Park Hang-seo. -FOTO Agensi
Oleh Firdaus Hashim


Singapura: Jurulatih pasukan Vietnam, Park Hang-seo menganggap tidak adil buat pasukan lain apabila permohonan skuad Harimau Malaya membawa pemain baharu dibenarkan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

Skuad Naga Emas yang akan berdepan Malaysia di Stadium Bishan malam esok, melihat isu kekurangan pemain membabitkan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe adalah kesilapan sendiri yang hanya membawa 24 pemain pada kempen kali ini.

Kata Hang-seo, semua pasukan dibenarkan menyenaraikan 30 pemain namun ia tidak digunakan sebaiknya oleh kem Malaysia yang kini hanya mempunyai 19 tonggak selepas empat daripadanya didapati positif Covid-19.

Manakala seorang lagi iaitu Dion Cools hanya akan mula menyertai pasukan pada minggu depan selepas berakhirnya komitmen bersama FC Midtjylland di Liga Denmark, yang akan berhenti rehat sehingga Februari depan.

"Saya fikir semua pasukan sudah mengetahui peraturan pertandingan dan kita harus ikut peraturan. Dalam peraturan membenarkan untuk kita bawa 30 pemain, tapi Malaysia satu-satu pasukan yang pilih untuk bawa 24 pemain sahaja.

"Saya rasa tidak patut dan tidak masuk akal untuk bawa masuk pemain baharu kerana kami juga tidak melakukan perkara itu, di mana seorang pemain kami dihantar pulang sehari selepas tiba di sini, kerana Kerajaan Singapura tidak benarkan.

"Saya rasa ia perlu adil (tidak benarkan pemain baharu) untuk semua pasukan," katanya pada sidang media pra-perlawanan dan kenyataan itu pastinya membangkitkan lagi suasana hangat pertemuan dua finalis edisi lalu itu.

Ditanya mengenai pertembungan malam ini, pengendali dari Korea Selatan itu mengakui Malaysia sebuah pasukan yang sukar dijangka biarpun rekod pertemuan sejak 2018 memihak anak buahnya.

"Malaysia pasukan yang lain dan tidak sama seperti kami jumpa pada Jun lalu (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE). Sudah banyak perubahan dan kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan malam esok (malam ini)," katanya yang mahu mempertahankan trofi itu buat kali kedua berturut-turut.

Sejak 2018, skuad Harimau Malaya sudah lima kali bertemu Vietnam, dengan empat daripadanya tewas dan seri sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 2:24 PM