CHENG Hoe ketika mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan hari ini. FOTO FAM
CHENG Hoe ketika mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan hari ini. FOTO FAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tiada kamus putus asa di benak fikiran pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe meskipun ketika ini berdepan kesulitan di bahagian tengah menjelang aksi Piala AFF bermula Ahad ini.

Tanpa kelibat beberapa pemain utama, pengendali berusia 53 tahun itu menegaskan akan kekal menggunakan barisan pemain sedia ada untuk menggalas tugas selaku 'nadi tengah' skuad negara di Singapura.

Namun Cheng Hoe berkata, beliau harus memantau terlebih dahulu siapakah pemain yang layak untuk mengisi kekosongan di posisi cukup penting itu sebelum meletakkan tanggungjawab di bahu mereka.

"Kalau kita lihat di bahagian tengah, kita kehilangan Brendan Gan, (Nor) Azam Azih yang cedera selain Syamer Kutty (Abba) juga tidak bersama. Kemudian terbaru (kehilangan) Kenny Pallraj dan Akram (Mahinan) yang sentiasa berada dalam skuad kebangsaan dan menjadi tonggak utama di bahagian tengah.

"Jadi kami selaku barisan kejurulatihan kena cari alternatif pilihan yang terbaik mengisi kekosongan itu," katanya.

Kelmarin Cheng Hoe berdepan satu lagi tamparan apabila Kenny dan Akram yang baru sahaja menjulang Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur City FC (KL City), terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan.

Cheng Hoe sebelum ini berkata beliau masih mempunyai pilihan seperti Baddrol Bakhtiar, Syafiq Ahmad, Mukhairi Ajmal serta beberapa pemain lain seperti Junior Eldstal yang pernah menggalas cabaran di bahagian tengah.

Di sebalik segala kesukaran itu, Cheng Hoe berkata barisan pemainnya tidak berganjak daripada memenuhi sasaran untuk mara ke pentas final.

Malaysia selaku naib juara edisi 2018, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Skuad negara akan memulakan kempen berdepan Kemboja pada 6 Disember, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember dalam usaha muncul dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 11:04 PM