MINTAH (kanan) laung keyakinan buru gol berdepan JDT pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Isnin ini. FOTO Ihsan TFC
MINTAH (kanan) laung keyakinan buru gol berdepan JDT pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Isnin ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah melaungkan keyakinan untuk merobek kubu pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan itu bakal bertembung pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Isnin ini.

Pemenang Kasut Emas Liga Perdana musim ini dengan meledak 16 ketika beraksi bersama pasukan 'adik' Terengganu FC II (TFC II) akui status pasukan gergasi dalam Liga Malaysia (Liga M) tidak sesekali menggerunkannya.

Sebaliknya pemain kelahiran Ghana itu yang sudah dua musim beraksi dalam Liga M menjelaskan dia bagaikan tidak sabar untuk membuktikan kemampuannya berdepan skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Pemain berusia 26 tahun itu juga yakin taktikal jurulatihnya, Nafuzi Zain bakal menambah lagi keyakinannya untuk membantu pasukan meraih kemenangan sebagai bekalan sebelum bertandang ke stadium lawan Jumaat ini pada aksi separuh akhir kedua.

"Cabaran bertemu pasukan terbaik dalam Liga M sentiasa saya nantikan dan sebagai penggempur saya bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pertahanan.

"Lagipun pasukan kami sudah bersedia dan bekerja keras untuk berdepan dengan juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu, perjuangan kami tidak akan berhenti selagi misi ke pentas final Piala Malaysia dan bergelar juara tidak tercapai.

"Saya harap rakan sepasukan dapat fokus hingga minit terakhir perlawanan bagi memastikan kita dapat mengatasi lawan sebagai bekalan sebelum bertandang ke laman lawan," katanya.

Mengulas lanjut, Mintah yang sudah meledak empat gol dalam kempen Piala Malaysia turut mengharapkan aksi konsisten dapat dikekalkan dalam misi memburu lebih banyak jaringan.

"Saya gembira dengan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini termasuk menjaringkan gol, tapi dalam setiap perlawanan siapa yang menjaringkan gol itu tidak penting sebaliknya kemenangan pasukan itu yang utama.

"Saya juga dahagakan sokongan peminat, jadi perlawanan di tempat sendiri Isnin ini sudah pasti saya inginkan sorakan padu daripada mereka bagi menyuntik semangat kami ketika bermain," katanya.

Mintah yang terkenal dengan gaya merangkak selepas meledak gol sudah pasti bakal dikawal ketat pertahanan lawan, namun Nafuzi sudah pasti merangka strategi terbaik berdepan juara bertahan itu.

Berdasarkan rekod dalam saingan Liga Super musim ini adalah seimbang dengan skuad Penyu berjaya mencalar rekod tanpa kalah JDT hasil kemenangan 1-0 melalui jaringan Hakimi Abdullah pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim sebelum skuad Harimau Selatan itu membalas dendam dengan kemenangan juga 1-0 pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hasil jaringan Shane Lowry.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 1:13 PM