YAYA Toure menyatakan dia tidak akan bermain buat Ivory Coast ketika rehat tugasan antarabangsa kerana ‘alasan keluarga’. - Foto AP
YAYA Toure menyatakan dia tidak akan bermain buat Ivory Coast ketika rehat tugasan antarabangsa kerana ‘alasan keluarga’. - Foto AP

ABIDJAN: Pemain tengah Manchester City, Yaya Toure menyatakan dia tidak akan bermain buat Ivory Coast ketika rehat tugasan antarabangsa kerana ‘alasan keluarga’.

Pemain berusia 34 tahun itu akan terlepas aksi persahabatan menentang Togo awal pagi esok dan Moldova di Perancis Isnin depan di sebalik memutuskan keluar daripada persaraan antarabangsa Disember lalu.

“Malangnya, saya tidak akan menyertai perlawanan Ivory Coast ketika minggu antarabangsa. Keluarga saya memerlukan saya ketika ini dan saya harap peminat memahami,” tulis Toure dalam Twitter.

“Saya mendoakan yang terbaik buat pasukan,” jelas bintang yang sudah beraksi 100 kali itu.

Selasa lalu, Persekutuan Bolasepak Ivory Coast (FIF) menyatakan mereka “tidak mendapat khabar” mengenai pemenang Pemain Terbaik Tahunan Afrika empat kali itu, yang tidak hadir pada sesi latihan.

Ivory Coast gagal layak ke Piala Dunia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 9:57 AM