PRESIDEN  PFAM, Safee Sali.
PRESIDEN PFAM, Safee Sali.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Lewat sehari pun pemain ada hak untuk bersuara, inikan pula dua bulan setengah. Jangan permainkan hak pemain. Sama-sama sain kontrak, sama-sama hormat kontrak. Jangan ganjiong."

Itu teguran Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali kepada pengurusan kelab Sarawak United yang dilihat seolah mengambil ringan mengenai gaji pemain.

Menerusi laporan Arena Metro Selasa lalu, peguam yang mewakili dua tonggak import Sarawak United iaitu Zhafri Aminurashid mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan notis tuntutan kepada kelab terbabit.

Susulan itu, difahamkan gaji semua pemain sudah dijelaskan serta merta, namun kenyataan balas pengurusan kelab yang mengecam pihak tertentu kerana sengaja memperbesarkan isu itu mendapat perhatian Safee yang mengakui kecewa dengan kenyataan pasukan terbabit.

Kata Safee, sudah tiba masanya bola sepak tempatan ditadbir oleh generasi muda yang lebih agresif dan segar berbanding mengekalkan 'orang lama' yang tidak mempunyai idea.

"Sedih sampai bila bola kita akan berterusan macam ini. Pengurusan tak betul, nak suruh menang itu ini. Gaji tak bayar, pemain pula yang kena ugut. Tolonglah. Bola sepak kita tak perlu 'orang lama' yang tidak ada idea untuk maju ke depan. Betul-betul sedih untuk bola sepak kita," kata Safee di laman Instagram miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 11:02 PM