MAEHLE (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di  Copenhagen. FOTO AFP
MAEHLE (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di Copenhagen. FOTO AFP
AFP

Paris: Denmark muncul pasukan kedua layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Austria 1-0 awal pagi tadi manakala England nyaris dimalukan Hungary di Wembley.

Jaringan Joakim Maehle pada minit ke-53 membawa pasukannya ke Qatar sekali gus meneruskan momentum kejutan di Euro 2020 yang menyaksikan mereka mara ke separuh akhir.

"Anda hanya boleh bermimpi seperti ini," kata pemain tengah Denmark, Pierre-Emile Hojbjerg. "Ia gila tetapi sangat besar kepada saya, pasukan, bola sepak Denmark dan negara kami. Dengan kualiti yang ada, kami akan terus maju."

Denmark menyertai Jerman yang mengesahkan tempat semalam manakala Qatar sebagai tuan rumah layak automatik.

POLIS menggunakan baton ketika bertempur dengan penyokong Hungary.
POLIS menggunakan baton ketika bertempur dengan penyokong Hungary.

England pula berdepan pertahanan mantap Hungary yang memaksa keputusan seri 1-1. Perlawanan dicemari tindakan ganas penyokong pasukan lawan yang bertempur dengan polis dan petugas keselamatan.

Skuad Gareth Southgate ketinggalan menerusi penalti Roland Sallai pada babak pertama sebelum John Stones menolak bola masuk untuk gol penyamaan pada minit ke-37 selepas mendapat hantaran Phil Foden.

Harry Kane gagal menjaringkan gol kali pertama dalam 16 aksi kelayakan dan digantikan ketika pertahanan Hungary cekal bertahan.

"Kami tidak beraksi pada tahap sepatutnya, itu sahaja,'' kata Southgate.

Bagaimanapun, England akan mara ke pusingan akhir tahun depan jika mereka meraih empat mata pada aksi terakhir menentang Albania dan San Marino pada November.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:39 AM