ZAQUAN Adha. -FOTO NSTP
ZAQUAN Adha. -FOTO NSTP
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) enggan memikirkan pesaing mereka dalam memburu mahkota kejuaraan Liga Perdana musim ini, Sarawak United FC, sebaliknya mahu kekal tenang menjelang pertembungan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Selasa depan.

Kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak berkata, pihaknya menyedari kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk dinobatkan selaku juara dengan syarat memenangi perlawanan masing-masing.

"Kami sedar kedua-dua pasukan ada peluang muncul juara, namun kami tidak mahu berhadapan perlawanan terakhir berdepan PDRM itu nanti dengan tekanan.

"Kami mahu hadapinya dengan tenang kerana hakikatnya sasaran utama kami musim ini sudah tercapai iaitu melayakkan diri ke Liga Super musim hadapan.

"Namun begitu, saya dan rakan sepasukan akan berusaha mengekalkan persembahan terbaik dan memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri (Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi), bagi menewaskan PDRM, malam Selasa nanti," katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, secara peribadi dia mahukan Negeri Sembilan mengekalkan rekod cemerlang musim ini dengan memenangi setiap perlawanan termasuk dengan PDRM itu nanti.

"Selepas mengharungi tempoh saingan yang mencabar, sudah tentu kami tidak mahu perlawanan terakhir liga ini nanti berakhir dengan keputusan mengecewakan.

"Justeru, kemenangan pada perlawanan terakhir liga itu penting bukan sahaja berpeluang untuk muncul juara liga, tetapi juga sebagai persiapan menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini," katanya yang pernah beraksi bersama Kedah Darul Aman FC sebelum ini.

Zaquan Adha yakin bukan mustahil buat skuad Hobin Jang Hobin untuk melakar kejayaan berganda musim ini dengan menjulang kejuaraan Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 2:01 PM