PEMAIN Empoli meraikan kemenangan di Stadium Allianz. FOTO AFP
PEMAIN Empoli meraikan kemenangan di Stadium Allianz. FOTO AFP
Agensi

Milan: Juventus tewas mengejut 0-1 kepada Empoli di tempat sendiri dalam perlawanan pertama mereka tanpa Cristiano Ronaldo awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad Turin masih gagal mencapai kemenangan dalam dua perlawanan awal Serie A dan hanya meraih satu mata.

Jaringan babak pertama Leonardo Mancuso sudah mencukupi buat Empoli yang baharu dinaikkan ke Serie A menang buat kali kedua dalam sejarah ke atas juara 36 kali itu.

Kekalahan Juventus hanya sehari selepas Manchester United dilaporkan mencapai persetujuan menandatangani Ronaldo.

Juve menamatkan kedudukan di tangga keempat musim lalu dan seri 2-2 dengan Udinese pada perlawanan yang menyaksikan Ronaldo tidak disenaraikan dalam skuad utama.

Pada aksi pagi tadi, skuad Massimiliano Allegri kurang mengancam kubu Empoli dengan peluang terbaik menerusi rembatan Manuel Locatelli yang tersasar pada masa kecederaan.

Mancuso, 29, yang menghabiskan masa 18 bulan di Juve tanpa pernah membarisi skuad utama meledak gol kemenangan selepas 21 minit permainan bermula dan Empoli cekal bertahan untuk kemenangan pertama mereka ke atas Juve dalam aksi liga sejak 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 9:05 AM