SALAH (kanan) dilabel sebagai pemain yang mempunyai pemikiran hanya mahu menang. FOTO Ihsan Liverpool FC
SALAH (kanan) dilabel sebagai pemain yang mempunyai pemikiran hanya mahu menang. FOTO Ihsan Liverpool FC
Agensi

Salzburg: Pasukan bimbingan Jurgen Klopp melengkapkan minggu pertama persiapan bagi menghadapi musim baru di Austria.

Sama seperti pasukan lain, Liverpool berkongsikan dengan peminat sedutan dan video mengenai apa saja berlaku semasa latihan.

Bagaimanapun, penyokong Liverpool tertarik dengan reaksi bintang mereka, Mohamed Salah sekali gus menimbulkan tanggapan bahawa pemain itu akan menyerlah di musim baru.

Video berkenaan menyaksikan Joel Matip menjaringkan gol cantik seperti gerakan solo Lionel Messi ketika dalam salah satu perlawanan latihan.

Salah dilihat marah dan kurang berpuas hati selepas pasukannya melepaskan gol berkenaan, walaupun ia hanyalah sesi latihan.

Salah menggenggam dan menarik baju bib yang dipakainya sebagai tanda kecewa dengan keadaan itu.

Peminat Reds tertarik dengan reaksi marah pemain kelahiran Mesir itu dengan memuji mentaliti dan keinginan Salah yang sentiasa mahukan kemenangan sekali gus menjadi sebab utama kenapa dia menjadi figura paling berjaya di Anfield.

Musim lalu, pasukan bimbingan Klopp berjaya memintas Chelsea selepas aksi terakhir untuk menduduki tempat ketiga.

Salah satu perkembangan positif mengenai Salah dalam aksi yang semuanya hampir berlangsung tanpa penonton musim lalu, ialah dia berjaya melepasi jumlah jaringan 30 gol dalam semua kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 12:01 PM