NINA (kiri) bersama rakannya di Stadium Wembley. FOTO Agensi
NINA (kiri) bersama rakannya di Stadium Wembley. FOTO Agensi
Agensi

London: Seorang penerbit kandungan digital dipecat selepas majikannya menyaksikannya meraikan kejayaan England menewaskan Denmark pada aksi separuh akhir Euro 2020 di kaca televisyen.

Nina Farooqi mendapati dirinya berada dalam keadaan berisiko selepas gelagatnya menjerit dan melonjak gembira sempat dirakam kamera selepas gol kemenangan Harry Kane menerjah gawang Denmark.

Peminat setia England berusia 37 tahun itu dilihat membaluti badannya dengan bendera England dan duduk di belakang gawang gol di Wembley, malam yang menyaksikan Three Lions menewaskan Denmark.

Bagaimanapun dia tergamam selepas majikannya menghubunginya keesokan harinya dengan nada marah berikutan gelagatnya itu.

Nina yang berasal dari Bradford, memberi alasan tidak sihat kepada majikannya untuk pergi ke perlawanan separuh akhir itu bersama rakannya yang memenangi tiket di saat akhir.

"Perasaan saya bercampur baur. England mara ke final dan saya sangat gembira tetapi pada masa sama saya kehilangan kerja.

"Rakan saya memenangi tiket itu di tempat kerjanya dan kemudian mengajak saya. Sudah pasti saya tidak mampu menolak tawaran itu.

"Saya terima akibat daripada tindakan saya. Memang ada rasa sedikit menyesal kerana tiada sesiapa yang mahu dipecat.

"Tapi saya juga pasti menyesal jika terlepas detik bersejarah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 9:37 PM