AFP

Seville: Gol tunggal Thorgan Hazard menyingkirkan juara bertahan, Portugal daripada saingan Euro 2020 hari ini sekali gus menyaksikan Belgium akan bertemu Itali pada aksi suku akhir.

Jaringan Hazard pada babak pertama menyaksikan Belgium meraih kemenangan 1-0 di Seville.

Cristiano Ronaldo cuba menguji penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois menerusi sepakan percuma pada separuh masa pertama namun bintang berusia 36 tahun itu gagal untuk memecahkan rekod gol antarabangsa pada penampilan kali kelimanya di saingan Euro.

Raphael Guerreiro hampir menyamakan kedudukan lewat permainan namun ia sedikit tersasar namun Belgium sememangnya dilihat lebih garang dan berhak memenangi perlawanan hari ini.

PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo tertunduk kecewa selepas tersingkir daripada Euro 2020 berikutan tewas 0-1 di tangan Belgium, semalam. FOTO AFP
PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo tertunduk kecewa selepas tersingkir daripada Euro 2020 berikutan tewas 0-1 di tangan Belgium, semalam. FOTO AFP

Mereka kini akan bertemu Itali di Munich awal pagi Sabtu ini dan kemungkinan beraksi tanpa Kevin De Bruyne yang mengalami kecederaan pada separuh masa kedua.

Di sebalik semua barisan pemain bintang yang beraksi di atas padang, Thorgan Hazard membuktikan kemampuannya dengan muncul wira untuk Belgium.

Beberapa percubaan menarik menerusi Eden Hazard dan Romelu Lukaku gagal menghadirkan gol untuk Belgium.

Sementara itu, Portugal mempamerkan aksi bertahan yang menjadi kunci kejayaan mereka lima tahun lalu ketika muncul juara di Perancis namun strategi itu tidak menjadi apabila bertemu pasukan mantap seperti Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 5:36 AM