PEMAIN tengah JDT, Afiq Fazail melakukan rembatan ketika sesi latihan  di Bangkok, semalam. FOTO  Johor Southern Tigers
PEMAIN tengah JDT, Afiq Fazail melakukan rembatan ketika sesi latihan di Bangkok, semalam. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor

[email protected].

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu menepis tanggapan betapa kehadiran pasukan itu bukanlah sekadar tempelan apabila memulakan saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang kelab dari Jepun, Nagoya Crampus di Stadium Rajamangala di Bangkok, Thailand, malam esok.

Beraksi untuk musim ketiga berturut-turut dalam saingan ACL, skuad bimbingan Benjamin Mora harus lebih matang dan mampu menyaingi kehebatan kelab dari Jepun, Korea Selatan dan Thailand yang berada dalam kumpulan sama.

Kejohanan kali ini yang diadakan secara karnival diharap memberi impak positif kepada juara Liga Super tujuh musim berturut-turut selepas terpaksa menarik diri musim lalu susulan penularan pandemik Covid-19.

Jika dinilai prestasi semasa, Nagoya Crampus yang dibimbing pengendali dari Itali, Massimo Ficcadenti tampak memiliki kelebihan apabila berada di kedudukan kedua Liga Satu Jepun (J League) namun JDT tidak harus panik dan perlu memberi tentangan.

Apapun, Mora harus bijak mempelbagaikan formasi dengan taktikal lebih berkesan bukan sahaja ketika menentang kelab Jepun itu tetapi juga ketika berdepan Ratchaburi FC dan Pohang Steelers.

Di posisi serangan Mora memiliki banyak pilihan sama ada menurunkan Bergson Da Silva dan Guilherme De Paula atau menyenaraikan Syafiq Ahmad atau Ahmad Hazwan Bakri mengemudi jentera serangan bagi menembusi tembok kebal yang dikawal bekas penjaga gol Australia, Mitchell Langerak yang turut berpengalaman mewakili kelab ternama seperti Borussia Dortmund, VFB Stuttgart di Bundesliga dan kelab Lavente di La Liga.

Aksi ACL juga menjadi medan terbaik buat Safawi Rasid untuk memulihkan reputasi selepas tenggelam pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai baru-baru ini.

Di benteng pertahanan kehadiran Shane Lowry yang dijangka bergandingan bersama Mauricio dos Santos diharap mampu mengekang gerakan berbahaya pasukan lawan dan di posisi bek kiri dan kanan yang akan diterajui Corbin Ong dan Matthew Davies juga dituntut dapat mematikan gerakan lawan menerusi sayap kiri dan kanan.

Apapun, JDT tidak harus memulakan kempen ACL dengan langkah kiri, sebaliknya turun dengan semangat melebihi 100 peratus untuk melakar tiga mata pertama yang pastinya mampu memberi lebih keyakinan mengharungi aksi seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 11:55 AM